ALI bersama keluarganya.
ALI bersama keluarganya.
Syanty Octavia Amry


“SAYA kini hanya mengharapkan doa dan keajaiban daripada Allah SWT bagi menyembuhkan anak saya, Sharifah Nur Ainul Mardhiah yang hidup bergantung dengan mesin bantuan pernafasan sejak semalam,” kata pelawak Ali Puteh.

Ali berkata, Ainul yang kini berusia tiga bulan berada dalam keadaan begitu selepas menjalani pembedahan berikutan ada masalah injap jantung terbalik.

“Selepas 12 jam menjalani pembedahan, doktor memberitahu paru-paru Ainul ada masalah.

“Sehingga sekarang Ainul hanya bergantung dengan mesin bantuan pernafasan kerana jika bernafas seperti biasa darah terlalu banyak masuk ke dalam paru-paru dan merbahaya untuknya,” kata Ali.

Meski tiada jaminan Ainul akan pulih sepenuhnya, Ali berkata dia tetap berharap ada perubahan positif dan tidak putus berdoa untuk anak keduanya itu.

“Doktor sudah berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkan anak saya dan kami hanya mampu mengharapkan keajaiban. Saya juga mengharapkan doa orang ramai.

“Saya sedih melihat keadaan Ainul tetapi dalam masa sama sibuk dengan persiapan dan latihan Maharaja Lawak Mega 2019,” katanya.

Ainul yang dilahirkan pada 6 Ogos lalu disahkan menghidap jaundis dan dipindahkan ke Hospital Ampang selepas lima hari dilahirkan. Ainul kini dirawat di Hospital Serdang dan disahkan ada masalah injap jantung terbalik dan jantung berlubang.

Selain Ainul, Ali turut mempunyai seorang lagi anak perempuan berusia dua tahun, Sharifah Nur Aaira Qaireen.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 November 2019 @ 5:52 PM