ANTARA babak menarik Hafiz dan Adira dalam muzik video Takdir Tercipta. FOTO Ihsan Nova Music
ANTARA babak menarik Hafiz dan Adira dalam muzik video Takdir Tercipta. FOTO Ihsan Nova Music
Sudirman Mohd Tahir


KEJAYAAN lagu Takdir Tercipta nyanyian Hafiz Suip dan Adira yang dilancarkan 9 September lalu membawa kepada penghasilan muzik video lagu itu.

Menariknya, muzik video yang juga idea daripada Hafiz itu seolah-olah mengimbau kembali kisah percintaan kedua penyanyi itu suatu masa dulu.

Bagaimanapun menurut Hafiz, apa yang dipaparkan adalah sebuah cerita yang melengkapkan lagi lirik lagu itu.

“Kalau tengok muzik video ini sama macam drama. Ia ada jalan cerita tersendiri. Terpulang pada persepsi masing-masing.

“Saya ada Adira menjalankan tanggungjawab diberikan dengan cukup profesional. Saya percaya, apa yang dipaparkan berkaitan dengan lagu dan lirik.

“Secara peribadi, saya menganggap muzik video ini adalah hadiah buat peminat yang tidak pernah berhenti menyokong kerjaya kami dari dulu hingga kini,” katanya.

Bagi Adira, dia berharap muzik video itu diterima baik sekali gus mengubat kerinduan peminat.

“Apabila lagu ini dilancarkan, ramai bertanya bila muzik video akan dikeluarkan. Jadi, muzik video sudah ada dan diharap peminat menyukainya.

“Bagi saya, muzik video ini ada keistimewaan tersendiri menerusi jalan cerita yang dipaparkan,” katanya.

Lagu dan muzik video itu adalah kerjasama Hafiz dan Adira selepas empat tahun tidak berjumpa dan bekerjasama.

Lagu hasil ciptaan Ikhwan Fatanna dan Ayden Ali itu dipilih menjadi lagu tema drama Lelakimu Yang Dulu yang ditayangkan di slot Akasia TV3.

Muzik video Takdir Tercipta dilancarkan secara rasmi jam 3 petang hari ini di saluran YouTube Nova Music Videos.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Oktober 2019 @ 6:38 PM