HASMAH (kanan) menerima sumbangan dari Finas yang disampaikan Subaidah (tengah) dan Mohan Rao. FOTO IHSAN HASMAH HASSAN
HASMAH (kanan) menerima sumbangan dari Finas yang disampaikan Subaidah (tengah) dan Mohan Rao. FOTO IHSAN HASMAH HASSAN
Norhayati Nordin


“APABILA suami terlantar sakit, baru saya sedar dia mempunyai ramai sahabat yang menyayanginya. Saya juga terharu apabila banyak pihak ambil berat,” kata isteri pengarah terkenal Mamat Khalid iaitu Hasmah Hassan.

Pada 12 Ogos lalu, Mamat atau nama sebenar Mohamad Mohamad Khalid, 56, dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah hospital pakar di Ipoh, Perak, selepas mengadu sesak nafas.

Pun begitu, Ahad lalu tular foto Mamat terbaring dengan tiub dan wayar berselirat di badan hingga ramai beranggapan pengarah filem Hantu Kak Limah itu tenat.

Mengulas perkembangan terkini Mamat, Hasmah berkata keadaan kesihatan suaminya beransur pulih.

Katanya, tiup pernafasan sudah ditanggalkan dan kini hanya menunggu tekanan darah stabil untuk dipindahkan ke wad.

Mewakili suami dan anak, Hasmah berkata dia sekeluarga sangat menghargai perhatian yang diberikan.

“Kasih sayang yang mereka (sahabat Mamat dalam industri) tunjukkan begitu bermakna buat kami sekeluarga.

“Terima kasih juga atas keprihatinan sahabat dan penggiat industri yang sudi memberi sumbangan,” katanya.

Hasmah turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Hans Isaac dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Finas, Ahmad Idham Ahmad Nadzri kerana menghantar wakil menziarah Mamat di hospital.

“Walaupun berada di luar negara kerana urusan kerja, mereka tetap hantar wakil Finas menziarah suami saya.

“Terima kasih di atas keprihatinan dan ambil berat mengenai perkembangan kesihatan Mamat,” katanya.

Pada Jumaat lalu, Hasmah menerima kunjungan pihak Finas diwakili Pengarah Kreatif dan Teknikal, Subaidah Md Top dan Ahli Perbadanan Finas, Mohan Rao Simancha yang turut memberi sumbangan.

Selain itu, Hasmah turut menerima kunjungan pelawat dalam kalangan penerbit filem, pengarah, pelakon dan Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Oktober 2019 @ 7:11 PM