Syafil Syazwan Jefri


PELAKON Rita Rudaini hari ini membuat laporan polis terhadap pemilik akaun yang didakwa memfitnah status taraf kedua-dua anak lelakinya di Instagram, semalam.

Rita ketika ditemui berkata, dia terpaksa mengambil tindakan itu kerana komen terbabit keterlaluan selain menjatuhkan maruahnya sebagai ibu dan wanita yang pernah berkahwin.

“Saya terpaksa membuat laporan polis kerana komen individu itu keterlaluan. Sebelum ini, ada beberapa individu yang menghina dan menulis perkara yang tidak sepatutnya di Instagram.

“Namun, apabila ada yang menyentuh mengenai anak saya, itu sudah melampau,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Rita, dia meminta nasihat peguam sebelum membuat laporan polis.

“Individu tidak bertanggungjawab itu mempertikai kesahihan taraf anak saya dan apabila saya rujuk peguam, dia menyokong tindakan saya untuk buat laporan polis,” katanya.

Menurutnya, artis lain perlu mengambil tindakan sebegini sekiranya perlu sebagai pengajaran buat warganet yang tidak bertanggungjawab.

“Sebelum ini Jasmin Hamid pernah mengambil tindakan sama apabila anaknya menjadi mangsa buli siber.

“Saya ingatkan, selepas apa yang dilakukan Jasmin, ramai akan jadikan kes itu sebagai pengajaran. Rupa-rupanya, ada juga yang masih tak faham,” katanya.

Peguamnya, Mohd Syakirin Syazwan Mohd Nayan berkata, pihaknya memberi masa 14 hari kepada individu yang menggunakan nama akaun @ahmadsan81 di Instagram.

“Kami memberikan tempoh 14 hari dari hari ini untuk individu itu tampil bertemu Rita, membuat permohonan maaf secara terbuka dan bukannya menerusi media sosial.

“Sekiranya dia gagal berbuat demikian, tindakan selanjutnya akan diambil dan meneruskan saman,” katanya.

Setakat ini, pihak Rita sudah mendapat maklumat peribadi individu itu lengkap dengan nama, nombor telefon serta gambarnya.

Rita membuat laporan polis di Balai Polis Kota Damansara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Oktober 2019 @ 5:44 PM
RITA membuat laporan polis di Balai Polis Kota Damansara.
RITA membuat laporan polis di Balai Polis Kota Damansara.