SUNNY antara 10 artis yang menghangatkan konsert Thai Pop 2019 pada 10 November ini.
SUNNY antara 10 artis yang menghangatkan konsert Thai Pop 2019 pada 10 November ini.
Sudirman Mohd Tahir


BINTANG terkenal Thailand, Sunny Suwanmethanont bersama lapan artis lain bakal menghangatkan konsert Thai Pop 2019 pada 10 November ini di Pusat Konvensyen IDEAL, Shah Alam.

Artis lain itu terdiri daripada kumpulan 9BY9, Sky Wongravee Nateetorn, Billkin Putthipong, Thanaerng Kanyawee Songmuang dan Pearwah Nichapat Chatchaipholrat.

Konsert yang julung kali diadakan itu bersempena ulang tahun ketiga platform penstriman Dimsun bulan depan.

Sunny menjadi kegilaan peminat di negara ini menerusi wataknya dalam filem Dear Dakanda dan pernah memenangi Anugerah Pelakon Terbaik menerusi filem itu.

Terbaru, dia bergandingan semula dengan Mai Davika dalam drama percintaan, My Ambulance.

Menariknya, barisan pelakon drama itu turut hadir bagi memeriahkan konsert ini.

Tiket pra-jualan akan dibuka bermula 17 September ini menerusi e-mel bersama beberapa tiket VVIP eksklusif.

Jualan tiket sepenuhnya dibuka kepada orang ramai pada 19 September dengan harga RM199 (PS3), RM299 (PS2), RM359 (PS1) dan RM599 (VIP).

Pembeli tiket VIP berpeluang menyertai sesi hi-touch, mengambil gambar berkumpulan, sesi di belakang pentas dan mendapat poster bertandatangan.

Tiket boleh dibeli menerusi laman web rasmi TicketCharge (www.ticketcharge.com.my) atau layari www.dimsum.asia untuk maklumat lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Oktober 2019 @ 4:20 PM