SHIMA nasihatkan artis muda supaya beringat dan menguruskan wang dengan baik. FOTO Saddam Yusoff
SHIMA nasihatkan artis muda supaya beringat dan menguruskan wang dengan baik. FOTO Saddam Yusoff
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


PENYANYI, Shima, 50, meminta masyarakat menolak tanggapan dan sentimen bahawa artis yang pernah mencapai kegemilangan suatu ketika dahulu semuanya kaya.

Shima atau nama sebenarnya Ku Nazhatul Shima Ku Kamarazzaman berkata, tidak semua selebriti hidup bersenang lenang ketika meraih puncak populariti.

Katanya, artis manusia biasa yang berdepan ranjau kehidupan hingga menyaksikan mereka 'terduduk' di hujung usia.

Bagi dirinya yang dilabel asnaf baru-baru ini, dia tidak menyangka melalui kesulitan, mengambil ungkapan lagunya, Luka Dilukai iaitu ‘tiada siapa di antara kita di dunia memilih jalan hidup yang derita’.

"Tanggapan bahawa artis popular semuanya kaya tidak benar kerana setiap zaman berbeza. Industri hiburan tanah air tidak seperti Hollywood kerana berdepan jatuh bangun," katanya.

Shima mengakui artis di era 90-an popular namun kekayaan tidak seindah khabar daripada rupa.

Pernah merasai kegemilangan antara 1988 hingga 1999 dengan memiliki sembilan album ketika itu, Shima berkata, bayaran diterima mereka amat rendah.

"Antara halangan adalah saya mengadakan banyak persembahan di pesta keraian dengan menerima bayaran hanya ratusan ringgit. Pernah juga saya mendapat puluhan ringgit untuk nyanyian selama sejam," katanya.

Untuk mendapat royalti pula, setiap penyanyi ketika itu perlu menyiapkan album yang dijual menggunakan kaset dan cakera padat (CD).

"Royalti kami tidak sebesar mana berbanding penyanyi zaman sekarang yang mengeluarkan single. Pendapatan artis baharu memang sangat lumayan," katanya.

Sehubungan itu dia menasihatkan artis baharu supaya sentiasa beringat kerana langit tidak selalunya cerah.

"Beringatlah, menyimpanlah, uruskan kewangan dengan baik dan ambil pengajaran kisah hidup saya. Lebih penting dapatkan perlindungan insurans kerana sakit boleh datang bila-bila masa," katanya.

Shima turut mengingatkan, populariti tidak kekal selamanya dan artis juga akan mengidap sakit serta berdepan era kejatuhan.

Dia yang pernah meraih Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album Wanita di Anugerah Industri Muzik (AIM) 1993 serta Naib Juara Anugerah Juara Lagu keenam (AJL6) kini berdepan kesukaran apabila mengidap masalah cakera tulang belakang (slipped disc) pada 2013.

Sementara itu pemuzik yang juga komposer, Awang BPR atau nama sebenarnya Norzaini Mohammad mengakui barisan artis muda melalui populariti tetapi apabila menjengah usia tua mereka akan diketepikan.

Dia yang mengidap sakit jantung pada 2017 berkata, kebanyakan artis di era 90-an menjadi susah ketika ini disebabkan kebanyakan artis baharu mendominasi industri seni tanah air.

"Saya anggap itu rezeki masing-masing, tetapi beringatlah bahawa mereka akan melalui apa yang kami sudah rasai.

“Sebagai langkah berjaga-jaga, uruskanlah kewangan dengan baik dan jangan membazir kerana mereka tidak tahu apa akan berlaku pada masa depan," katanya.

Keterangan gambar:

1. Shima dan Awang BPR masing-masing menerima RM5,000 hasil sumbangan peminat dan usahawan dalam Program Kembara Seni Naluri di Sungai Buloh, baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 September 2019 @ 5:46 PM