HAFIZ dan Adira pernah berduet untuk lagu Ombak Rindu dan Untuk Kita.
HAFIZ dan Adira pernah berduet untuk lagu Ombak Rindu dan Untuk Kita.
Sudirman Mohd Tahir


PENYANYI Hafiz Suip dan Adira Suhaimi kembali berduet menerusi lagu Takdir Tercipta selepas empat tahun tidak bekerjasama.

Hafiz, 29, atau nama sebenarnya Mohd Hafiz Mohd Suip mengakui berasa kekok apabila mereka bertemu semula.

“Projek ini adalah kata putus syarikat rakaman kami. Mereka nak kembalikan zaman kegemilangan kami menerusi lagu tema.

“Selepas empat tahun kami dipertemukan semula. Sepanjang tempoh itu, kami memang tak pernah jumpa. Diakui, pada awalnya janggal sebab lama tak jumpa, bekerjasama dan berduet.

“Kerjasama kami atas dasar profesional. Lagipun, masing-masing sudah ada kehidupan sendiri,” katanya kepada Harian Metro.

Kali terakhir Hafiz dan Adira berduet menerusi lagu Untuk Kita pada 2015 dan sebelumnya lagu Ombak Rindu pada 2011.

Menurut Hafiz, dia juga sudah bersedia untuk kembali berkongsi pentas dengan Adira.

“Saya sudah bersedia. Lagipun, kami tak pernah gaduh pun.

“Kami tetap profesional macam dulu dan melaksanakan tugas yang diamanahkan,” katanya.

Ditanya mengenai penerimaan isterinya, Hafiz berkata suri hidupnya itu sangat memahami.

“Isteri saya okay. Dia faham kerja saya dan tiada perkara berbangkit. Asal sahaja saya tidak menggatal. Dia tahu saya hanya nak cari makan,” katanya.

Lagu Takdir Tercipta turut dipilih menjadi lagu tema drama Lelakimu Yang Dulu yang bakal ditayangkan di slot Akasia, TV3.

Video lirik lagu ini akan mula ditayangkan di saluran YouTube Nova Music Video bermula 9 September ini.

HAFIZ, Adira profesional.
HAFIZ, Adira profesional.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Ogos 2019 @ 7:09 PM