PEMENTASAN Ola Bola The Musical di Istana Budaya.
PEMENTASAN Ola Bola The Musical di Istana Budaya.
Ramlah Zainal


TEATER Ola Bola The Musical akan dipentaskan secara percuma di empat lokasi iaitu Pulau Pinang, Kuching, Kota Kinabalu dan Kuantan sempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.

Penerbit dan pengarahnya, Puan Sri Tiara Jacquelina berkata, pihaknya sangat bersyukur kerana pementasan muzikal Ola Bola Merdeka Tour itu juga mendapat kerjasama dan tajaan sepenuhnya daripada syarikat korporat serta kerajaan negeri terbabit.

“Saya sangat berharap pementasan teater muzikal Ola Bola ini akan menyemai semangat perpaduan rakyat berbilang kaum negara ini.

“Selain memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan tahun ini, saya juga berharap teater itu akan dapat meningkatkan lagi semangat patriotik dan cintakan tanah air dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya dalam sidang media Ola Bola Merdeka Tour di Matic, Jalan Ampang, Kuala Lumpur, hari ini.

Mengenai pemilihan empat lokasi terbabit, Tiara berkata, pihaknya mahu memberi peluang peminat di sana pula merasai semangat dan kehebatan teater muzikal Ola Bola selepas ia mendapat sambutan hangat ketika dipentaskan di Istana Budaya, Kuala Lumpur sebelum ini.

“Pementasan Ola Bola Merdeka Tour akan membabitkan pementasan secara versi penuh di Kuching nanti. Manakala, penonton di Pulau Pinang, Kota Kinabalu dan Kuantan akan menyaksikan versi ‘showcase’ selama satu jam”, katanya.

Teater terbitan Enfiniti (M) Sdn Bhd itu akan dipentaskan di Majestic Theatre, Pulau Pinang pada 31 Ogos ini, Stadium Perpaduan, Kuching, Sarawak (6 hingga 8 September), Kompleks JKKN, Kota Kinabalu, Sabah (16 September) dan Auditorium Darul Makmur, RTM, Kuantan, Pahang (21 September)

Pementasan Ola Bola Merdeka Tour menampilkan barisan pelakon iaitu Altimet, Brian Chan, Luqman Hafidz, Iedil Putra, Lim Jian Wen, Tony Eusoff, Nabila Huda dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Ogos 2019 @ 5:56 PM