PERMOHONAN maaf dari syarikat produksi JS Pictures Sdn Bhd.
PERMOHONAN maaf dari syarikat produksi JS Pictures Sdn Bhd.
Sudirman Mohd Tahir


PELAKON, Bella Dally mengakui tidak puas hati dengan tindakan syarikat produksi JS Pictures Sdn Bhd kerana menyunting gambar kahwinnya dengan bekas suami, Nazim Othman dan digantikan dengan wajah pelakon, Emma Maembong dalam telefilem Silang yang ditayangkan kelmarin.

Perkara itu diketahui Bella selepas mendapat kiriman mesej daripada beberapa kenalannya selain ia turut tular di laman sosial.

Sehubungan itu, Bella menghubungi penerbit drama itu, Sheila Rusly dengan menghantar mesej di aplikasi WhatsApp bagi mendapatkan pencerahan mengenai perkara itu.

“Saya mendapat banyak mesej peribadi (DM) daripada rakan, keluarga dan peminat mengenai perkara ini. Saya tahu, anda juga mempersoalkan perkara sama.

“Bagi saya, ia seperti tidak menghormati saya dan perlu diselesaikan. Saya tidak puas hati, jadi saya secara sendiri menghubungi Sis Sheila.

“Dia dan prop master meminta maaf. Saya maafkan mereka kerana kita manusia biasa yang tidak lari daripada melakukan kesilapan,” katanya.

Menerusi status dimuat naik Bella, dia berharap mana-mana pihak tidak mengambil mudah perkara sebegitu dan mengambil kesempatan.

Dalam masa sama, Bella turut memuat naik paparan perbualan antara dirinya dengan Sheila Rusly.

Sheila mengakui kesilapan dibuat pasukannya dan tampil memohon maaf.

“Maaf, bagi pihak pasukan saya minta maaf. Saya akan minta prop master minta maaf.

“Kesilapan saya juga sebab tak sensitif dengan isu ini. Maaf sekali lagi,” tulisnya.

Sementara itu, Fawwaz daripada bahagian seni telefilem itu turut menghantar mesej permohonan maaf pada Bella.

“Assalamualaikum, maaf ganggu. Saya Fawwaz, Art Department dari telefilem Silang JS Pictures Sdn Bhd.

“Saya ingin memohon maaf atas kesilapan menggunakan gambar kahwin awak untuk disunting sebagai bahan prop dalam tele itu,” tulisnya.

Telefilem arahan Azman Yahaya atau Jinggo itu menampilkan Nazim Othman dan Emma Maembong selaku watak utama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Julai 2019 @ 11:50 PM