TAI.
TAI.
Norhayati Nordin


MESKIPUN kini selesa tampil dengan imej Islamik tidak bermakna pelakon Taiyuddin Bakar atau mesra dengan sapaan Tai, 37, sudah melupakan karier seninya.

Lakonan tetap diteruskan, namun dia bersikap lebih memilih dengan memberi penelitian terhadap watak serta jalan cerita karya ditawarkan kepadanya.

“Saya bersikap memilih watak dan karya bukan disebabkan berasa diri sudah bagus tetapi lebih ke arah pengisian karakter serta mesej yang dibawa dalam sesebuah naskhah.

“Apapun, saya tidak menolak komedi. Bagi saya, tidak ada salahnya komedi asalkan pengisiannya positif dan ada isi,” katanya.

Mengulas lanjut perihal kerjaya, Tai berkata, dia akan muncul dengan dua filem tidak lama lagi iaitu Geran arahan Aril Abu Bakar dan Master Picisan yang mendapat sentuhan NamRon selaku sutradara.

“Geran mengetengahkan kisah berkaitan seni pertahanan diri masyarakat Melayu seperti silat gayong. Ia membabitkan warisan bangsa.

“Dalam Master Picisan pula, ia mengembalikan saya kepada watak komedi yang pernah dilakonkan satu ketika dahulu. Apapun, jalan ceritanya sangat menarik,” katanya.

Selain itu, Tai juga bakal menjayakan pementasan teater Neo Disiden yang skripnya ditulis Siti Jasmina Ibrahim.

Pelakon filem Apa Celop Toq itu memaklumkan dia melakonkan watak antagonis bernama Antonius atau Anthony yang menjadi perancang utama pemberontakan.

“Saya tertarik menyertai pementasan ini kerana jalan ceritanya kena dengan senario kehidupan masyarakat dan negara masa kini.

“Meskipun Neo Disiden karya klasik tetapi pengisian jalan ceritanya mantap dan berkesan.

“Saya yakin penonton pasti terkesan selepas menyaksikannya,” ujar Tai.

Teater Neo Disiden arahan Khairunazwan Rodzy akan dipentaskan di Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) pada 19 hingga 21 Julai nanti.

Bertempat di Panggung Eksperimen ASWARA, pementasan bermula jam 8.30 malam dengan harga tiket di antara RM40 dan RM55 manakala RM25 untuk pelajar.

Selain Tai, teater Neo Disiden membariskan pelakon utama lain seperti Amirul Affendi, Along Eyzendy, Mustaqim Mohamed, Hairi Safwan, Rosden Suboh dan Kirin Muhamad.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2019 @ 6:30 AM