ERMA tidak mahu mengambil tindakan undang-undang atau menyaman peniaga yang menggunakan jenama Mak Cun. FOTO Arkib NSTP
ERMA tidak mahu mengambil tindakan undang-undang atau menyaman peniaga yang menggunakan jenama Mak Cun. FOTO Arkib NSTP
Rudy Imran Shamsudin


PENGARAH prolifik yang cukup popular dengan karektor Mak Cun, Erma Fatima tidak bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap peniaga pakaian di Melaka yang menggunakan jenamanya bagi melariskan jualan.

Penipuan itu dapat dikesan Erma selepas ada beberapa pihak yang rasa tertipu dengan penjual terbabit menghubunginya bagi membuat aduan.

Menjelaskan perkara itu sewaktu dihubungi hari ini, katanya, peniaga terbabit bukan saja menggunakan jenamanya tetapi juga rekaan pakaian dan posternya turut digunakan.

“Diakui perkara ini sedikit sebanyak menjejaskan reputasi saya yang baru hendak berniaga. Ini kerana saya difahamkan peniaga terbabit langsung tidak menjaga kualiti pakaian yang dijual.

“Semua yang menghubungi saya memberitahu perkara sama walaupun dia turut menghasilkan baju berasaskan batik sebagaimana saya hasilkan tetapi dari sudut kualiti ternyata berbeza,” katanya.

Begitupun kata Erma, dia tidak mahu mengambil tindakan undang-undang atau menyaman peniaga terbabit kerana berasakan ia keterlaluan.

“Saya orang berniaga dan faham situasi yang dihadapi peniaga lain. Kalau itu caranya untuk dia mencari rezeki tak mengapalah, saya halalkan.

“Lagipun berniaga baju raya bukanlah sumber pendapatan utama saya. Saya jual baju raya untuk seronok di samping mahu memeriahkan suasana dan menimba pengalaman,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mei 2019 @ 6:42 PM