WARGA emas yang diraikan merakam kenangan bersama penganjur.
WARGA emas yang diraikan merakam kenangan bersama penganjur.
Najiy Jefri


RAMADAN adalah bulan penuh bermakna buat seluruh umat Islam.

Bagi meraikan bulan mulia ini, pusat beli-belah eCurve tidak ketinggalan mengukir senyuman di wajah sekumpulan warga emas daripada Pusat Jagaan Al-Fikrah, Kampung Sungai Sekamat, Kajang, baru-baru ini.

Bukan itu saja, nostalgia zaman dulu ketika menyambut ketibaan lebaran dibangkitkan menerusi kempen bertema Al-Kisah Pesta Ria.

Ia boleh dilihat ketika memasuki ruang Centre Atrium yang kelihatan tidak ubah seperti era 1960-an.

Semangat Aidilfitri dapat dirasai dengan dekorasi bangunan lama dihias indah dan muzik latar belakang yang tidak lapuk dek zaman.

Penolong Pengurus Besar, Bahagian Sewaan, Pengiklanan dan Promosi eCurve, Gina Long Ahmad berkata, inisiatif terbabit adalah sebagai berkongsi rezeki bersama individu yang memerlukan.

GINA menyerahkan sumbangan kepada warga emas.
GINA menyerahkan sumbangan kepada warga emas.

“Di samping membuat persediaan untuk musim perayaan, ia juga penting untuk kita berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan.

“Kami menjemput warga emas daripada Pusat Jagaan Al-Fikrah untuk berbuka puasa bersama-sama sebagai sebahagian daripada tradisi tahunan kami.

“Melihat mereka tersenyum cukup menggembirakan kami dan berharap kami telah memberikan kenangan yang bermakna tahun ini,” katanya.

Acara petang itu dimulakan dengan sebuah persembahan muzikal bertajuk Irama Pesta Ria dengan penampilan khas tetamu selebriti, Musly Ramlee yang terkenal dengan kemampuannya menyanyikan lagu Allahyarham Tan Sri P Ramlee.

“Saya juga seronok melihat keletah warga emas yang turut sama menari pada acara ini berlangsung. Diharapkan aktiviti ini dapat memberi keceriaan kepada mereka,” katanya.

Musly mendendangkan lagu popular P Ramlee seperti Bunyi Gitar dan Mari-Mari Tuan Dengar Ini Cerita.

Persembahan Musly turut diiringi tarian penari latar serta lagu klasik yang dimainkan manakala warga emas turut berkesempatan mengambil swafoto bersama Musly pada akhir persembahannya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2019 @ 5:05 AM