NING turut terbabit sebagai sukarelawan dalam penjagaan dan memperjuangkan kehidupan haiwan. FOTO Rohanis Shukri
NING turut terbabit sebagai sukarelawan dalam penjagaan dan memperjuangkan kehidupan haiwan. FOTO Rohanis Shukri
Norhayati Nordin


"KITA sebagai generasi hari ini sangat bangga dengan Harimau Malaya yang dijadikan 'ikon sukan' tetapi apakah anda tahu spesiesnya di dalam hutan di Malaysia semakin pupus?

"Jika beberapa tahun lalu, spesies Harimau Malaya masih ada beribu dalam hutan di negara ini tetapi sekarang daripada maklumat saya tahu jumlah yang masih ada kurang daripada 200 ekor. Malah di Zoo Negara ini pun tinggal sembilan ekor saja," kata penyanyi Ning Baizura.

Terdahulu, Ning, 44, hadir pada sidang media sempena penganjuran konsert mini Ning Live! 'Saving Tigers Together'' yang akan berlangsung di Zoo Negara pada 20 April nanti.

Menurut penyanyi lagu Dugaanku itu, bagi turut sama memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai spesies Harimau Malaya yang semakin terancam dan akan pupus, dia nekad mengadakan konsert mini di Zoo Negara.

"Kalau kita masih tidak sedar dengan situasi ini (spesies harimau terancam), kasihan pada generasi akan datang kerana mereka mungkin hanya dapat mengenali Harimau Malaya melalui gambar saja kerana sudah pupus," katanya.

Justeru, katanya selain pengunjung berhibur, mereka juga akan mendapat pelbagai maklumat mengenai pelbagai spesies haiwan liar di Zoo Negara terutama Harimau Malaya yang sangat dibanggakan rakyat Malaysia.

"Sebenarnya, selain aktif menyanyi selama 26 tahun ini, saya juga seorang sukarelawan dalam penjagaan dan memperjuangkan kehidupan haiwan.

"Sudah 17 tahun saya menjadi aktivis dan melakukan kerja amal ini tetapi memang tidak begitu menguar-uarkan kerana selesa buat secara diam saja," katanya.

Pemilik nama sebenar Ning Baizura Sheikh Hamzah itu memberitahu, selama aktif menjadi sukarelawan, dia pernah membersihkan kandang gajah di Zoo Negara.

"Di Zoo Negara ini, ada dua gajah yang sudah lebih 20 tahun di sini. Saya pernah membersihkan kandangnya seperti membuang tahi, memandikan serta memberi makan.

"Haiwan liar ini, memanglah nampak ganas dan menakutkan, tetapi pada masa sama apabila sudah didekati mereka sebenarnya sangat gemar dibelai dan sukakan kasih sayang.

"Apapun, saya tak pernah berasa geli, rimas dengan bau busuk atau jatuh 'standard' hanya terbabit dalam aktiviti sukarelawan berhubung dengan penjagaan haiwan," katanya.

Ning akan menyanyikan 10 lagu dalam konsert mini itu dan penonton juga akan menikmati aktiviti lain seperti menyaksikan beberapa pertunjukan haiwan.

Katanya, harga tiket untuk konsert mini itu ialah RM175 untuk dewasa, RM100 (kanak-kanak) dan RM505 (pakej keluarga) serta boleh didapati di www.airasiaredtix.com.

Ning berkata, 10 peratus daripada hasil penjualan tiket untuk konsert mini berkenaan akan disalurkan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) My CAT yang terbabit membela nasib harimau.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mac 2019 @ 3:19 PM