SARAH (kanan) bersama anak dan suami tercinta.
SARAH (kanan) bersama anak dan suami tercinta.
Sudirman Mohd Tahir


PELAKON Puteri Sarah yang kini hamil dijangka bersalin anak perempuan pada 19 Mac ini.

Puteri Sarah, 34, atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin berkata, dia berharap proses bersalin nanti dipermudahkan.

“Alhamdulillah, ini rezeki buat kami sekeluarga. Gembira dan syukur apabila doktor mengesahkan saya hamil anak perempuan. Insya-Allah, jika segalanya dipermudahkan cukup sepasang anak kami.

“Kalau boleh berharap sangat dapat bersalin secara normal. Apatah lagi anak pertama dulu dilahirkan secara pembedahan. Namun, saya berserah dan ikut saja apa yang terbaik menurut pandangan doktor,” katanya kepada Harian Metro.

Sarah yang juga isteri kepada pengarah dan pelakon Syamsul Yusof berkata, sejak disahkan hamil anak kedua dia lebih banyak duduk di rumah.

“Pada peringkat awal kehamilan saya kerap juga ikut suami ke acara dan melakukan aktiviti lain terutama berkaitan perniagaan.

“Namun, selepas kandungan kian membesar saya jadi cepat letih. Kalau boleh nak baring saja dan tidak ke mana-mana.

PUTERI SARAH
PUTERI SARAH

“Anak sulung pula semakin lasak. Jadi, saya kena berikan perhatian. Walaupun ada pembantu rumah, urusan mengenai anak saya buat sendiri,” katanya.

Dalam masa sama, Sarah berkongsi dia dan suami kini duduk di rumah sendiri selepas lima tahun tinggal bersama mentua.

“Apabila duduk berasingan suasana memang berbeza. Segalanya kena buat sendiri. Orang kata kena lebih berdikari.

“Kalau ikutkan mentua tidak mahu kami pindah, tapi sayang pula rumah yang sudah ada terbiar kosong lama.

“Lagi pula anak sudah mahu masuk dua. Tidak manis pula jika terus duduk bersama. Apa pun, kami kerap juga balik rumah mereka,” katanya.

Hasil perkahwinan bersama Syamsul, pasangan itu dikurniakan anak lelaki, Syaikul Islam Mohd Shamsul yang kini berusia dua tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mac 2019 @ 12:30 PM