MAMAT Khalid semakin stabil dan kini dipindahkan ke wad biasa. FOTO Arkib NSTP
MAMAT Khalid semakin stabil dan kini dipindahkan ke wad biasa. FOTO Arkib NSTP
Syanty Octavia Amry


HAMPIR sebulan berada di hospital, pengarah popular, Mamat Khalid yang kini semakin stabil menyuarakan perkara pertama mahu dilakukannya ialah segera kembali ke lokasi penggambaran.

Isteri Mamat, Hasmah Hassan ketika dihubungi berkata, suaminya terlalu memikirkan soal kerja dan tidak boleh berada lama di hospital kerana boleh mengundang risiko negatif.

Begitupun katanya, doktor menasihatkan mereka sekeluarga supaya memastikan Mamat banyak berehat ketika ini.

“Doktor juga suruh kami beri apa saja yang abang Mamat ingin makan asalkan bukan jenis keras kerana buat sementara ini dia masih makan menggunakan tiub.

“Saya cuba beri dia makan kurma ajwa untuk tambah tenaganya dan insya-Allah dalam tiga hari lagi dia boleh makan macam biasa,” katanya.

Menurutnya, Mamat menunjukkan tanda positif apabila dipindahkan ke wad biasa dua hari lalu dan dia gembira dengan perkembangan kesihatan suami yang semakin baik.

“Alhamdulillah abang Mamat sudah dipindahkan ke wad biasa dan mula bercakap serta mahu makan.

“Namun begitu, buat sementara waktu ini dia tidak mahu dikunjungi oleh sesiapa kerana keadaannya belum kuat sepenuhnya,” katanya.

Pengarah filem yang terkenal dengan siri Hantu Kak Limah dan Rock itu dimasukkan ke sebuah pusat perubatan di Petaling Jaya akibat masalah paru-paru dan jantung pada 25 Januari lalu.

Sebelum ini, bapa kepada lima cahaya mata itu pernah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sekitar 2017 kerana sesak nafas selepas majlis tayangan perdana filem arahannya, Lebuh raya Ke Neraka.

Tiga tahun sebelum itu, Mamat pernah menjalani pembedahan kecil membuka saluran darah yang tersumbat kerana masalah jantung.

Berita berkaitan

'Mamat Khalid beransur pulih'

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Februari 2019 @ 1:41 PM