HATTAN tampil dengan persembahan istimewa di House. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
HATTAN tampil dengan persembahan istimewa di House. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
Georgie Joseph

Tidak dinafikan Datuk Hattan antara penyanyi senior yang cukup berbisa dan berkarisma di atas pentas. Bukan saja dihormati berdasarkan profil karier muziknya, malah Hattan juga dilabel sebagai penghibur sejati.

Sabtu lalu, Hattan, 53, kembali mengubat kerinduan peminatnya apabila tampil dengan persembahan istimewa di House, G Tower, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

Kehadiran penonton tidak terjejas walaupun bertembung dengan final Piala AFF Suzuki 2018 antara Malaysia dengan Vietnam yang turut berlangsung pada malam itu.

Bercerita mengenai persembahan itu, Hattan berkata, dia sangat berpuas hati dengan sambutan pada malam itu dan tidak kisah untuk menambah lagu.

“Sebenarnya sambutan kali ini benar-benar menaikkan lagi semangat saya untuk tidak berhenti menyanyi. Melihat pada sokongan diterima membuatkan saya sangat kagum.

“Saya tidak bimbang sangat disebabkan jualan tiket 300 keping habis dijual sebelum ini. Bagaimanapun, ada dalam 50 orang tidak dapat hadir kerana mereka mahu menonton perlawanan bola sepak,” katanya.

Hattan juga berbangga apabila dapat melakukan persembahan di pusat hiburan berkenaan yang begitu selektif memilih penghibur.

Menurutnya, peluang itu sendiri adalah satu penghormatan terhadap dirinya.

“Seperkara mengenai lokasi ini, mereka sangat memberi sokongan terhadap artis tempatan. Saya ada bercakap juga dengan pemiliknya dan dia berkata, bukan saja artis ‘otai’ namun mereka turut mengalu-alukan penyanyi baru meningkat naik.

“Cumanya, sekarang ini penyanyi generasi baru tiada tempat untuk membuat persembahan seperti ini. Saya berharap peluang sebegini memberi ruang kepada mereka membuat persembahan pula,” katanya.

HATTAN puas dapat hiburkan penonton. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
HATTAN puas dapat hiburkan penonton. FOTO Muhd Zaaba Zakeria

Menurut Hattan, dia juga teruja untuk menjayakan konsert bersama Hazama dan Azlan The Typewriter yang berlangsung di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), tahun depan.

“Konsert berkenaan antara yang saya nantikan disebabkan ia menggabungkan tiga generasi penyanyi tempatan.

“Saya juga buat pertama kali akan diiringi pemuzik orkestra. Bukan tidak pernah diiringi muzik orkestra sebelum ini, namun untuk persembahan di DFP adalah sesuatu yang berbeza buat saya,” katanya.

Dalam pada itu, Hattan turut menyeru penyanyi generasi baru meluangkan masa untuk menonton persembahan ‘otai’ supaya belajar cara mereka.

“Kalau saya sendiri, sebaik naik pentas kena beri persembahan yang sangat ikhlas. Saya cuma nak nyanyi, hiburkan orang dan dapat bagi feel supaya mesej saya sampai.

“Sebagai penyanyi ‘otai’, kami buat persembahan sebegini dengan harapan penyanyi baru juga dapat datang. Dulu-dulu, kami pun buat perkara sama misalnya pergi menonton Datuk Ramli Sarip dan belajar daripada mereka yang lebih berpengalaman.

“Bagaimanapun, nampak gayanya tiada siapa yang datang, tapi tidak mengapa. Harap mereka akan datang pula selepas ini,” katanya.

Pada persembahan yang berdurasi lebih dua jam itu, beberapa rakan artis turut hadir memberikan sokongan kepada Hattan. Antaranya Joe Wings yang tidak keberatan naik ke pentas dan bermain gitar untuk beberapa lagu.

Dihadiri lebih 300 penonton, Hattan memberikan persembahan bertenaga menerusi lagu popularnya termasuk Biso Bonar, Memburu Rindu, Mahligai Syahdu, Rendang Tak Berbuah dan Dia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Disember 2018 @ 12:00 PM