TOMOK dan Black kongsi satu pentas di DFP, 28 November ini.
TOMOK dan Black kongsi satu pentas di DFP, 28 November ini.
Norhayati Nordin

Selepas dua dekad menceburi karier nyanyian, Tomok buat julung kalinya akan menjayakan konsert istimewa di Dewan Filharmonik Petronas (DFP).

Konsert yang berlangsung pada 28 November ini dijayakan Tomok bersama rakan baiknya, penyanyi Black Hanifah.

Berbicara mengenai konsert itu, Tomok atau nama sebenarnya Shah Indrawan Ismail, 34, mengakui berasa sangat teruja.

“Konsert Tomok VS Black di DFP ini cukup bermakna buat saya kerana sudah 20 tahun berada dalam industri.

“Boleh dikatakan ia peluang keemasan buat saya kerana dapat meraikan ulang tahun dengan Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO).

“Terus terang, saya pasti menampilkan persembahan terbaik untuk konsert ini demi memastikan penonton terhibur,” katanya.

Apatah lagi bekas vokalis kumpulan New Boyz itu sudah lama mengimpikan membuat persembahan berskala besar.

Mengulas perkembangan karier nyanyiannya, Tomok bakal tampil dengan album baru tahun depan.

“Setakat ini, material untuk album baru sudah siap dan dijangka dipasarkan tahun depan.

“Sudah lama tidak muncul dengan album baru, ia boleh dianggap hadiah saya buat peminat yang selama ini setia memberi sokongan.

“Apapun, menariknya album itu nanti memuatkan single terbaru berjudul Bekas Kekasih ciptaan Aizat Amdan dan lirik ditulis Mel Ramlan,” katanya.

Menurut Tomok lagi, dia akan menghiburkan penonton di DFP dengan single Bekas Kekasih yang kini tular.

Tomok berkata, apa yang pasti dia puas hati dengan single Bekas Kekasih kerana berjaya menambat hati pendengar.

“Kalau ikutkan saya pun sudah lama tidak muncul dengan single baru, jadi Bekas Kekasih adalah pilihan tepat.

“Terima kasih kepada peminat yang menyokong saya. Apa pun, semoga single Bekas Kekasih akan menghiburkan anda semua,” katanya.

Tiket untuk menyaksikan konsert Tomok VS Black di DFP dijual pada harga RM80 dan RM100. Maklumat lanjut boleh didapati dengan melayari laman rasmi MPO.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 November 2018 @ 10:15 AM