NICK dan Priyanka kahwin Disember ini di India.
NICK dan Priyanka kahwin Disember ini di India.
Georgie Joseph


MENYULAM kasih pada Mei lalu dan kemudian menyimpul pertunangan, penyanyi Nick Jonas bakal menamatkan zaman bujangnya dengan aktres jelita Priyanka Chopra.

Nick, 26, dan Priyanka, 36, dijadualkan melangsungkan perkahwinan pada Disember nanti di India. Bagaimanapun, butiran lokasi dan tarikh belum diumumkan.

Pasangan romantik itu nampaknya sudah tidak sabar untuk bersatu sebagai suami isteri dan teruja menghitung hari bahagia mereka.

Keputusan mereka berkahwin secepat mungkin bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Sebelum bercinta, Nick dan Priyanka sudah berkawan rapat.

Terbaru, penyanyi itu khabarnya membeli rumah agam berharga RM27 juta sebagai persiapan untuk hidup bersama belahan jiwanya.

Nick membeli kediaman itu tiga bulan sebelum dia melamar Priyanka.

Bukan setakat berkahwin, pasangan itu dikatakan tidak mahu menunggu lama untuk menimang cahaya mata.

Perkara ini dikongsi Priyanka dalam satu wawancara. Kebahagiaan jelas terpancar di wajah cantiknya.

“Beberapa kawan saya sudah ada cahaya mata. Saya pun tidak sabar mahu ikut jejak langkah mereka,” katanya.

Ogos lalu, Priyanka mengesahkan khabar angin pertunangannya dengan Nick selepas menunjukkan cincin berlian dipakainya di Instagram.

Mereka dipercayai bertunang pada Julai lalu ketika bercuti di London.

Dia bagaimanapun membuat pendedahan mengejutkan apabila bergambar dengan bintang Bollywood, Raveena Tandon yang kemudian memuat naik foto itu di media sosial.

Beberapa jam sebelum itu, Nick membuat kenyataan merancang mempertemukan keluarganya dengan keluarga Priyanka di Mumbai, India.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Oktober 2018 @ 7:00 AM