SEUNGRI
SEUNGRI
Michelle Gun
michellegun@hmetro.com.my

Penyanyi Korea Selatan kegilaan ramai, Seungri tidak mengeluarkan teaser mahupun klip promosi video muzik single baru berjudul 1,2,3 yang akan diperkenalkan dalam masa terdekat.

Perkara itu disahkan Ketua Pegawai Eksekutif YG Entertainment, Yang Hyun Suk menerusi Instagram, kelmarin.

Sebaliknya, Seungri lebih cenderung mempromosikan album solo sulungnya, The Great Seungri di media sosial.

Baru-baru ini, anggota kumpulan Big Bang itu berkongsi poster salah satu lagu daripada album berkenaan iaitu Where R U From.

Untuk lagu itu, Seungri berkolaborasi dengan Song Min Ho untuk menghasilkan lirik dan dia turut berganding dengan Future Bounce untuk bahagian kompos.

Menerusi kenyataan ringkas, Hyun Suk menjanjikan hasil video dan muzik 1,2,3 yang berkualiti kepada peminat Seungri.

“Pihak kami berharap anda memahami teaser video muzik 1,2,3 tidak akan dikeluarkan kerana konsep digunakan untuk penggambaran video muzik itu,” tulisnya.

Dalam perkembangan lain, Seungri akan menjadi artis solo pertama tampil sebagai tetamu jemputan program stesen televisyen JTBC, Idol Room.

Sumber dalaman JTBC memberitahu, peminat boleh menyaksikan kemunculan Seungri dalam episod Idol Room yang akan bersiaran pada 24 Julai ini.

Susulan itu, penyanyi berkenaan berkongsi dua gambarnya ketika menjalani rakaman Idol Room di Instagram.

Menang tiket menyaksikan konsert Seungri

Selain melancarkan album, Seungri juga akan mengadakan konsert solo pertamanya di Arena Jangchung, Seoul, Korea Selatan pada 5 Ogos ini.

Bagi peminat yang ingin ke negara itu untuk menyaksikan persembahan Seungri boleh mencuba nasib menyertai peraduan anjuran majalah syarikat penerbangan AirAsia, Travel360.com dengan kerjasama aplikasi sosial Tinder.

Cara menyertainya mudah saja iaitu dengan muat turun aplikasi Tinder, diikuti menekan butang ‘Like’ di laman rasmi Facebook Travel360.com.

Peserta juga dikehendaki melengkapkan borang penyertaan yang disediakan di Facebook Travel360.com.

Peraduan itu terbuka kepada empat negara ASEAN iaitu Malaysia, Thailand, Indonesia dan Vietnam hingga 18 Julai ini.

Seorang pemenang dari setiap negara akan dipilih dan masing-masing bakal menerima dua tiket konsert Seungri, tempat penginapan serta tiket pergi-balik ke Seoul dengan penerbangan AirAsia.

Pemenang akan diumumkan melalui e-mel pada 20 Julai ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Julai 2018 @ 10:50 AM