ANI kumpul lagu untuk melonjakkan kembali namanya.
ANI kumpul lagu untuk melonjakkan kembali namanya.
Najiy Jefri


Selepas hampir dua dekad menghadapi sepak terajang industri hiburan, Ani Maiyuni yang popular dengan irama dangdut belum terfikir untuk menukar genre nyanyiannya.

Bagi pemilik nama sebenar Aishah An-Nur Osman ini, dia lebih selesa menyanyikan genre dangdut berbanding muzik lain kerana mahu mempertahankan irama berkenaan.

Katanya, dia tidak mahu irama dangdut dilupakan pendengar muda khususnya.

“Saya bukan memilih atau cerewet tetapi bimbang jika ‘berhijrah’ ke muzik lain, siapa yang akan pertahankan irama dangdut?

“Lagipun, artis dangdut boleh dikira dengan jari. Saya belum nampak lagi pelapis penyanyi dangdut yang boleh membawa muzik ini ke depan.

“Jadi, biarlah saya terus persembahkan lagu dangdut bersama rakan artis lain. Tambahan pula, permintaan penyanyi dangdut dalam persembahan hiburan masih berjalan dengan rancak,” katanya.

Menurut Ani, keputusannya untuk terus mengekalkan muzik dangdut bukan bermakna dia tidak mampu menyanyikan lagu bergenre lain.

“Sejak awal pembabitan dalam bidang seni, saya sudah diajar menyanyikan lagu yang pelbagai.

“Jadi, saya tiada masalah untuk membawakan sebarang lagu yang mengikut kemampuan vokal saya. Dalam setiap persembahan, saya juga selalu menyanyikan lagu balada, irama Malaysia, pop dan lagu Inggeris,” katanya.

Ditanya bilakah dia akan tampil dengan single baru, penyanyi berusia 40 tahun ini tidak mahu terburu-buru.

Katanya, dia bimbang jika apa yang dirancang tidak menjadi kenyataan sebagaimana diharapkan.

“Ada baik dan buruk apabila membuat lagu baru. Saya tidak mahu sekadar membuat lagu tetapi tidak dimainkan di stesen radio dan tidak menepati selera pendengar.

“Berilah saya sedikit masa untuk memilih lagu dangdut bersesuaian dengan selera sekarang. Saya masih mengumpul lagu yang mampu melonjakkan kembali nama saya,”katanya.

Kali terakhir Ani muncul dengan lagu baru ialah menerusi single Buruanmu, duet bersama Dior lebih empat tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Julai 2018 @ 12:34 PM