AWAl dan Scha turut terbabit.
AWAl dan Scha turut terbabit.
Sudirman Mohd Tahir

Mengangkat tema ‘Sebar Fakta Bukan Dusta dan ‘Aku Bersamamu’, selebriti terkenal tanah air bergabung tenaga menjayakan kempen Akhiri Buli Siber dan Penyebaran Maklumat Palsu di media sosial.

Antara artis terbabit, pasangan popular Awal Ashaari dan Scha Alyahya yang diakui memiliki pengikut paling ramai di Instagram iaitu lebih tiga juta.

Menurut Awal, kerjasama yang diberikan adalah untuk menyedarkan masyarakat akan bahaya berita palsu ini.

“Sebagai bapa kita tahu bagaimana bahaya perkara sebegini kepada anak. Sebab itu saya berasakan kempen seperti ini penting.

“Saya tidak bercakap dalam konteks sebagai artis tetapi perlu bagi saya terangkan kepada khalayak ada saluran buat mereka yang menjadi mangsa buli siber,” katanya.

Menurut Awal, melalui kempen ini dia berharap masyarakat faham kegunaan sebenar laman sosial dan tidak menyalahgunakan kebebasan yang diberi.

Sependapat dengan suami­nya, Scha berkata, mereka antara artis pertama yang terkena buli siber menerusi akaun palsu dan blog yang diwujudkan segelintir pihak tidak bertanggungjawab.

“Sebagai ibu bapa sudah semestinya kita tidak mahu terganggu dengan perkara yang sengaja dibangkitkan pihak tidak bertanggungjawab.

“Pada awalnya tertanya juga apa patut dilakukan apatah lagi ketika itu belum ada akta sebegini. Sekarang, apabila ada akta khas untuk pembuli siber ini, lega sedikit.

“Kalau nak tahu, bukan dalam kalangan selebriti saja terkena, tetapi juga orang biasa. Pada masa sama, pembabitan kami ini untuk mendidik generasi muda macam mana nak berikan teladan supaya berhati-hati dalam perkara ini,” katanya.

Selain Awal dan Scha, artis yang turut terbabit menjayakan kempen itu termasuk Neelofa, Nora Danish, Maya Karin, Joe Flizzow, Kavita Sidhu, Caprice, Adibah Nor, Atilia Haron, Datuk Afdlin Shauki dan Shahrol Shiro.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mei 2018 @ 10:50 AM