Hafiz tidak anggap aktiviti amal menunjuk nunjuk. FOTO SADDAM YUSOFF
Hafiz tidak anggap aktiviti amal menunjuk nunjuk. FOTO SADDAM YUSOFF
Sudirman Mohd Tahir


PENYANYI, Hafiz Hamidun tidak menganggap perkongsian mengenai aktiviti amal di laman sosial adalah untuk menunjuk-nunjuk.

Hafiz, 34, berkata dia perlu berkongsi perkara itu kerana ingin memberi kesedaran kepada orang ramai namun perlu disertakan dengan niat baik.

“Dahulu saya selalu fikir jangan menunjuk kalau buat aktiviti kebajikan. Kali ini saya berasakan ia perlu kerana tidak salah berkongsi perkara baik berbanding perkara yang bukan-bukan.

“Terpulang orang nak kata apa asalkan saya tahu batasan. Lagi pula, perkara yang dikongsi bukan untuk beritahu saya orang baik, namun lebih kepada meningkatkan kesedaran dan beri inspirasi untuk orang lain buat perkara sama.

“Paling penting, apa dilakukan kena dengan niat betul. Jangan berlebih-lebih sehingga jadi riak,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Hafiz, dia sentiasa berfikiran positif walaupun perkara itu mengundang kecamaman netizen.

“Kalau semua perkara nak ikut cakap orang, susahlah hidup kita. Jadi, mana perkara yang baik buat dan kongsikan untuk manfaat bersama.

“Tidak dinafikan segelintir pihak kurang gemar sikap sebegini, tapi biarkan. Kalau buat senyap-senyap pun, orang akan persoalkan juga,” katanya yang bakal ke Jordan Mei ini untuk program misi kemanusiaan.

Perkembangan lain, Hafiz baru melancarkan single baru Jangan Berhenti yang mana liriknya adalah kata-kata motivasi untuk mereka yang putus asa dalam kehidupan.

Hafiz mengakui, lirik lagu itu diinspirasikan daripada pengalaman dilalui selama ini dan bukan membabitkan kisah perkahwinannya semata-mata.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 April 2018 @ 7:13 PM