Ayda Jebat

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua pembaca Metro Ahad.

Adik doakan semoga anda semua diberikan kesihatan yang baik dan sentiasa dimurahkan rezeki.

Episod duka yang melanda saudara seagama kita di Palestin tidak pernah reda. Setiap hari menyaksikan peningkatan orang terbunuh akibat kerakusan dan kezaliman rejim Zionis.

Ratusan ribu umat Islam terbunuh tanpa belas kasihan. Wanita, kanak-kanak dan remaja menjadi mangsa paling ramai sama ada cedera, ditangkap, dimalukan, diseksa mahupun dibunuh sesuka hati mereka.

Penderitaan dialami rakyat Palestin sememangnya dahsyat dan berlaku 24 jam sehari. Sebagai contoh bagi sebuah keluarga Palestin, rumah yang didiami terdedah kepada pengusiran atau dimusnahkan pada bila-bila masa.

Selain rumah, kebun, ladang atau premis perniagaan juga terdedah kepada rampasan, gangguan dan tekanan setiap masa.

Bagi ibu bapa yang mempunyai anak-anak remaja, mereka terdedah kepada penculikan, pencabulan dan pembunuhan kerana mereka adalah golongan paling kuat menentang Zionis.

Terbaru, seorang rakyat Palestin dilaporkan terbunuh selepas ditembak tentera Israel berhampiran sempadan Israel-Gaza pada awal bulan ini.

Jurucakap tentera Israel mendakwa, mangsa menghampiri kawasan yang dikawal ketat di selatan Gaza.

Tentera dikatakan melepaskan tembakan amaran ke udara. Apabila mangsa tidak berhenti, mereka melepaskan tembakan ke arahnya.

Bagaimanapun, Kementerian Kesihatan Gaza mengesahkan mangsa yang juga seorang lelaki itu adalah petani yang berada di tanah kebunnya sendiri.

Ia jelas membuktikan umat Islam di bumi Palestin tidak mampu hidup tenang dan aman sehingga hari ini.

Justeru, Adik berharap sebagai umat Islam yang tinggal di bumi bertuah ini janganlah kita lupa terhadap umat Islam di Palestin yang sentiasa memerlukan sokongan dan doa kita.

Bagi kita umat Islam di Malaysia, jika tidak mampu membantu dengan kudrat dan wang ringgit marilah sekurang-kurangnya kita terus istiqamah mendoakan kesejahteraan dan kemenangan untuk saudara kita di Palestin.

Walaupun pada zahirnya Malaysia adalah negara kecil dan secara logiknya sukar untuk bertindak bagi menamatkan penderitaan rakyat Palestin, kita sebagai individu boleh memainkan peranan dalam isu ini.

Adik menyeru supaya semua memahami Palestin adalah isu bersama dan kita bertanggungjawab memastikan pembebasan Palestin.

Selain itu, Adik juga memohon untuk kita sama-sama menghulurkan sumbangan dana untuk Palestin demi meringankan bebanan mereka.

Adik yakin setiap daripada kita pasti mempunyai platform media sosial, jadi sebarkan maklumat mengenai isu ini dalam masyarakat melalui platform sosial Instagram, Facebook mahupun aplikasi WhatsApp.

Ayuh sama-sama kita berdoa agar Allah memberi kemenangan kepada umat yang berjuang untuk mencari keredaan-Nya.

Tutup cerita mengenai Palestin, Adik nak beralih mengenai karier seni Adik. Adik baru saja melancarkan lagu terbaru berjudul Bagai Pelangi pada hari jadi Adik tempoh hari.

Alhamdulillah lagu itu mendapat maklum balas yang baik. Semoga ia mampu menjadi lagu yang menjadi siulan di bibir pendengar.

Jangan lupa untuk muat naik lagu Bagai Pelangi di semua platform muzik dan tonton muzik video di YouTube.

Ini adalah hadiah istimewa buat semua peminat adik dan penonton filem Pinjamkan Hatiku. #BagaiPelangi

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Mac 2018 @ 4:31 AM