Bandi mahu mereka tukar nama dan perjuang muzik sendiri. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Bandi mahu mereka tukar nama dan perjuang muzik sendiri. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Ridzuan Abdul Rahman


PENYANYI rock terkenal, Bandi Amuk mengakui kesal dengan tindakan beberapa individu yang menggunakan nama kumpulan lamanya, Febians tanpa kebenaran.

Pada 1989, Febians atau D'Febians yang dianggotai oleh Nasabandi Jumat (Nasha), Aziz Mohamed (Aziz), Sufian Samiran (Yan), Harun Rahman (Harun) dan Samsuri Hj Tahir (Sham) tampil dengan album pertama berjudul 1001 Malam.

Bandi atau dikenali sebagai Nasha dalam kumpulan Febians berkata, kewujudan kumpulan Febians palsu ini amat mengelirukan peminat yang menyangka Febians asal diwujudkan semula.

"Ada peminat yang bertanya kami kenapa Febians asal tidak mahu bergabung semula. Dalam masa sama mereka keliru kerana ada sebuah kumpulan menggunakan nama Febians dan aktif buat persembahan di sekitar negeri Johor dan Singapura.

"Kami sendiri terkejut kenapa mereka berani gunakan nama Febians sedangkan anggotanya bukan yang asal. Saya banyak dihujani pertanyaan peminat yang inginkan kepastian," katanya kepada Harian Metro.

Bandi berkata, anggota Febians palsu ini terdiri daripada pemuzik muda dan permainan muzik mereka tidak setaraf anggota asal.

"Mereka langsung tidak minta kebenaran kami, tetapi dakwa nak perjuangkan nama Febians. Apa sebenarnya niat mereka?

"Kami masih hidup dan apa dilakukan langsung tidak logik," katanya.

Febians yang popular menerusi lagu Untukmu Sayang, bersama empat kumpulan lain iaitu May, Metalian, Scandals dan Burnmarks akan beraksi dalam persembahan eksklusif Juara-Juara Rock, selepas 3 dekad pada 8 April ini di The House G-Tower Kuala Lumpur.

"Masalah timbul apabila saya akan bergabung semula dengan anggota asal Febians, tetapi segelintir peminat menyangka Febians palsu ini yang akan beraksi.

"Pada saya, anggota asal Febians ialah mereka yang wajahnya terpampang di kulit album kami. Yang lain dari itu, bukan anggota asal. Ada baiknya mereka tukar nama baru dan perjuangkan muzik sendiri," katanya.

Dalam pada itu, Bandi mengakui tidak kisah beraksi tanpa topeng untuk persembahan bersama Febians ini.

"Amuk adalah projek khas manakala Febians adalah kumpulan asal saya. Apabila bersama Febians, saya kena lupakan identiti Amuk.

"Saya kena kembali semula ke asal. Apa yang orang nak, itu yang akan saya sampaikan. Karakter saya adalah ketika bersama Febians," katanya.

Mengulas perbezaan lagu antara kedua-dua kumpulan ini, Bandi berkata, dia akan kembali mendapatkan rentak asal kumpulan Febians.

"Ramai peminat buat andaian saya dah tak boleh menyanyi lagu balada rock seperti dulu. Saya akan buktikan kepada mereka yang hadir nanti.

"Apapun saya mengakui teknik nyanyian saya samada bersama Febians atau Amuk mempunyai cabarannya tersendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Februari 2018 @ 5:20 PM