CUACA  sejuk tak menghalang penggambaran.
CUACA sejuk tak menghalang penggambaran.
Shakilawati Abd Rahman

Pulau Jeju antara destinasi pelancongan paling popular di Korea Selatan. Selain menyajikan panorama indah, Jeju sering dijadikan lokasi penggambaran beberapa drama terkenal sekali gus menarik perhatian pelancong seantero dunia untuk menjejakkan kaki ke sana.

Tidak hairanlah mengapa Jeju menjadi pilihan Suria Malaysia sebagai lokasi penggambaran program travelog Kembara Lagu Untuk Laila yang dihoskan oleh penyampai radio Suria FM Zulin Aziz pada 6 hingga 10 Januari lalu.

Sebelum ini pelakon dan penyanyi itu kerap berkunjung ke Seoul tapi pengalaman kali ini berbeza buat Zulin apabila kembaranya turut disertai dua pemenang peraduan kendaliannya di segmen Suria Pagi iaitu Siti Zulaika Shahrin dan Faiz Izudin Azami.

Zulin mengakui jatuh cinta dengan keindahan yang terbentang di depan mata sepanjang berada di pulau itu. Paling melekat di hati, panorama di Sareony Forest yang diliputi sajli. Persis berada di alam fantasi, keindahannya sukar digambar dengan kata-kata.

ZULIN jatuh cinta dengan keindahan Jeju.
ZULIN jatuh cinta dengan keindahan Jeju.

“Menerusi program travelog yang dibahagikan kepada empat episod ini, penonton dapat melihat keunikan bentuk muka bumi Jeju yang cukup memukau pandangan.

“Apatah lagi penggambaran di lakukan pada musim sejuk. Banyak pengalaman menarik dapat saya kutip sepanjang berada di sini. Ia secara tidak langsung buka mata saya terhadap kekuasaan Ilahi.

“Setiap negara ada kelebihan tetapi saya selesa di sini. Jeju sangat bersih, saya tak nampak sampah ketika bersiar-siar. Malah dalam hutan pun bersih.

“Penduduk di sini pun baik-baik belaka. Kalau mereka boleh bertutur dalam bahasa Inggeris, saya yakin mereka pasti ramah ketika berbual. Mereka juga masih mengekalkan budaya lama meskipun hidup dalam zaman serba moden terutama bab makan,” katanya.

BERSAMA dua pemenang bertuah.
BERSAMA dua pemenang bertuah.

Bercerita lanjut pengalaman itu, Zulin berkata cabaran terbesar adalah cuaca sejuk dan makanan yang kurang menepati seleranya.

“Jadual penggambaran sangat padat, setiap hari sekurang-kurang empat lokasi perlu dikunjungi. Paling tidak dapat dilupakan, mendaki Seongsan Ilchulbong Sunrise Peak dalam keadaan sejuk. Saya lasak orangnya tetapi apabila cuaca terlalu sejuk, pancit jadinya.

“Ratusan anak tangga perlu didaki untuk sampai ke puncak dan setiap kali ada tempat untuk berhenti saya akan berehat sekejap bagi menghilangkan penat. Nak dijadikan cerita, ketika itu salji turun, Tuhan saja yang tahu betapa sukarnya keadaan saya ketika itu.

“Seperkara lagi, bab makan juga mencabar. Saya tak cerewet, kalau nasi putih dengan telur goreng pun saya boleh makan. Namun, kalau apa yang disajikan itu di luar kebiasaan, susah sikitlah nak menelan. Kiranya, makan sekadar untuk alas perut. Ada sekali mereka hidangkan nasi putih dan ikan goreng, barulah rasa nikmat,” katanya seraya ketawa.

ZULIN dan Akim & The Majistret menikmati juadah popular Jeju.
ZULIN dan Akim & The Majistret menikmati juadah popular Jeju.

Sementara itu, Ketua Kandungan Kreatif, Digital dan Pengurusan Penjenamaan Suria Malaysia Ahmad Shaifullizam atau lebih dikenali sebagai GBam yang bertindak selaku penerbit program ini berkata Zulin menjadi pilihan kerana dia teraju utama Suria FM selain peminat setia drama dan lagu Korea.

“Sebelum ini dia selalu buat parodi drama dan lagu Korea, kali ini kita bawa di ke Jeju untuk menikmati keindahan pemandangan di sini.

“Perancangan bermula daripada September 2017 dan kami sangat berbesar hati apabila Air Asia X dan Jeju Tourism Organization sudi menaja kami. Terima kasih diucapkan kepada ejen pelancongan Vakasia yang menghubungkan kami dengan dua penaja utama ini.

“Dalam kunjungan ini kami ada dua misi iaitu penggambaran travelog Kembara Lagu Untuk Laila dan menyiapkan video muzik Lagu Untuk Laila dendangan Akim & The Majistret.

“Syukur proses pembikinan kedua-duanya berjalan lancar meskipun berdepan beberapa cabaran. Kami berharap penonton suka dengan hasilnya dan Suria Malaysia akan terus mengetengahkan pengisian menarik pada masa akan datang,” katanya.

ZULIN bersama tulang belakang penggambaran program travelog itu.
ZULIN bersama tulang belakang penggambaran program travelog itu.

Kembara Lagu Untuk Laila yang bakal bersiaran di Suria TV memaparkan Zulin berkunjung ke Jeju Swiss Village, Saryeoni Forest Path, Abu Oreum, Mazeland, Gunung Hallasan, O’Sulloc Tea Museum, Innisfree Jeju House, Camellia Hill, Tangerin Farm dan Play Kpop.

Tidak ketinggalan, Seopjikoji, Seongsan Ilchulbong Sunrise Peak, Seongeup Folk Village dan Jeju Ranch Cafe.

Sebelum pulang ke tanah air, Zulin sempat singgah di Pasar Tradisional Dongmun yang menjadi tempat tumpuan penduduk tempatan untuk membeli makanan, pakaian dan barang kosmetik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 January 2018 @ 3:36 AM