MARSHA dan Syamel membawakan lagu Anti Buli.
MARSHA dan Syamel membawakan lagu Anti Buli.
Sudirman Mohd Tahir


Pemilihan penyanyi Marsha dan Syamel bagi menyanyikan lagu Anti Buli iaitu kempen yang dijalankan Astro adalah tepat.

Menurut komposer lagu itu, Edry Abdul Halim, gabungan suara kedua-dua penyanyi terbabit sesuai dengan lagu dihasilkan.

“Ini bukan kali pertama saya menghasilkan lagu untuk mana-mana kempen. Jadi, saya tidak ada masalah untuk konsep sebegini. Cuma untuk lagu Anti Buli ini, cabaran saya lebih kepada mencari penyanyi sesuai.

“Terdapat beberapa senarai nama diberikan, cuma saya berasakan paduan vokal Marsha dan Syamel lebih sesuai. Lagipun, apabila membabitkan lagu duet kombinasi dan keserasian dalam lagu sangat penting,” katanya.

Berkongsi mengenai projek itu, Edry berkata, dia terlebih dulu memberikan dua lagu pilihan daripada genre berbeza kepada Astro.

“Seperti kebiasaan saya memberikan pilihan kepada mereka untuk memilih lagu yang sesuai. Satu lagu saya beri sentuhan agresif dengan mesej yang tegas dan lagu kedua pula lebih emosi.

“Selepas mendengar kedua-dua lagu, mereka tertarik dengan lagu kedua yang berentak perlahan. Melodi dan lirik lagu ini kena dengan mesej yang ingin disampaikan, malah saya juga yakin lagu ini dapat menyentuh hati masyarakat.

“Pada masa sama, lagu ini diharap dapat memberi kesedaran kepada masyarakat. Paling penting juga, orang sekeliling lebih peka kepada aktiviti keganasan berbentuk buli ini,” katanya.

EDRY
EDRY

Sementara itu, Pengurus Saluran Astro Prima Natasha Hashim, berkata, lagu kempen ini adalah inisiatif daripada Astro menerusi rangkaian saluran Melayu.

“Ia bukan digunakan sekali saja tetapi sampai bila-bila. Apa yang diharapkan, lagu ini dapat memberi kesedaran kepada masyarakat berkenaan kesan buli terhadap mangsa.

“Bagi rangkaian saluran Melayu, kami memilih menghasilkan lagu ini. Sementara rangkaian lain dengan pendekatan berbeza. Namun, matlamat kami sama iaitu membanteras dan menghentikan aktiviti buli dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Selain lagu itu, Astro turut merancang beberapa inisiatif lagi bagi menjayakan kempen ini.

“Kami juga turut merakamkan suara selebriti yang bercakap mengenai kempen ini. Suara mereka itu digabungkan menjadi satu menerusi segmen ‘vox pop’ berdurasi 30 saat.

“Tidak ketinggalan kami bakal menerbitkan dua filem pendek membabitkan buli siber dan buli di tempat kerja. Bagi saya, masih banyak pihak yang kurang peka terhadap dua jenis buli ini.

“Kami turut menghasilkan dokumentari yang mengupas isu buli. Ia akan disiarkan di semua saluran media sosial Astro,” katanya.

Lagu Anti Buli ini mulai dilancarkan sejak semalam dana bakal dipersembahkan pada konsert AF Megastar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Oktober 2017 @ 11:15 AM