AKSHAY Kumar (kanan) dalam filem Toilet.
AKSHAY Kumar (kanan) dalam filem Toilet.

Selepas deretan filem lakonannya mendapat kutipan pecah panggung seperti Airlift, Housefull 3, Rustom, Jolly LLB dan terbaru Toilet: Ek Prem Katha (Toilet), adakah Akshay Kumar akan merampas gelaran ‘megastar’ daripada Shah Rukh Khan (SRK) serta Salman Khan?

Sejak ditayangkan pada 10 Ogos lalu, kutipan tiket Toilet terus meningkat. Ia mengisahkan pengantin wanita meninggalkan suaminya selepas mendapat tahu rumah keluarga suami yang akan didiaminya tidak mempunyai tandas.

Seorang pemuda kampung, Keshav (lakonan Akshay Kumar) berkahwin dengan seorang wanita terpelajar iaitu Jaya (Bbumi Pednekar).

Selepas berkahwin, Jaya enggan tinggal dan bekerja di kampung seperti wanita lain di sana. Namun, isu paling besar ialah rumah keluarga Keshav tiada kemudahan tandas.

Walaupun Jaya mencintai Keshav, tetapi dia enggan tinggal dengan lelaki itu selagi Keshav tidak membina tandas di rumah itu.

Menurut pengarah filem itu, Shree Narayan Singh, Toilet bukanlah filem propaganda tetapi menurut kajian kira-kira 60 peratus penduduk di India terutama di luar bandar, tempat tinggal mereka tiada kemudahan tandas.

Berbalik kepada kejayaan diraih Akshay tahun ini, pelakon itu dapat menyempurnakan lakonannya dengan baik dalam filem komersial walaupun yang berunsur patriotik.

Dibandingkan dengan SRK dan Salman yang diibaratkan mengalami zaman kejatuhan apabila satu demi satu filem mereka gagal di pawagam, tentunya 2017 menjadi milik Akshay.

Seorang lagi Khan iaitu Aamir Khan, sehingga kini mempunyai trek rekod yang tidak pernah menghampakan akan muncul dengan filem terbaru berjudul Secret Superstar, Oktober ini.

Apa yang pasti, Akshay kini pelakon nombor satu di Bollywood.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Ogos 2017 @ 4:21 AM