SYED Shahmin Syed Abdul Kadir. FOTO arkib NSTP
SYED Shahmin Syed Abdul Kadir. FOTO arkib NSTP
Sudirman Mohd Tahir


PENYANYI Syed Shamim tidak berkecil hati apabila terdapat komen mengatakan nyanyian penyanyi Tajul dan Wany Hasrita menerusi lagu Mana Tahu Siapa Tahu lebih sedap berbanding dirinya selaku penyanyi asal.

Syed ketika dihubungi berkata, dia tidak ada masalah dengan komen itu malah beranggapan setiap penyanyi ada cara dan gaya tersendiri menyanyikan sesebuah lagu.

"Saya tak berkecil hati pun kalau ada yang komen begitu. Malah saya sebenarnya berterima kasih kepada Tajul dan Wany sebab sudi menyanyikan lagu saya.

"Bagi saya ini adalah strategi pemasaran yang kami cuba lakukan untuk memperkenalkan lagi lagu saya itu. Bukan apa, sejak ia dilancarkan April lalu sambutan terhadap lagu ini kurang.

"Kiranya apabila video nyanyian Tajul dan Wany dimuat naik di YouTube, ia sedikit sebanyak membantu lagu ini," katanya kepada Harian Metro.

Syed juga tidak menafikan dia menggunakan populariti dua penyanyi itu dalam usaha mempromosikan lagi lagu ciptaan Patrick Kamis itu.

"Secara peribadi saya menyukai lagu ini dan ia sedap didengar. Sehinggakan saya naik segan dengan Patrick kerana lagu ini kurang mendapat sambutan.

"Sejujurnya saya memang sudah jangka perkara ini. Selepas bergerak solo, saya akui kurang mendapat sambutan berdasarkan penerimaan berbanding ketika bersama Tasya. Apa pun saya tetap berfikiran positif," katanya.

Lagu yang dirakam hujung tahun lalu itu mula dilancarkan serentak dengan muzik video pada 21 Mac lalu.

Selepas empat bulan, muzik video lagu itu ditonton 462,090 tontonan di laman YouTube.

Sementara itu, video nyanyian duet versi Tajul dan Wany kini ditonton 134,408 tontonan dalam tempoh kurang sebulan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Julai 2017 @ 7:26 PM