SYED Lj, KD Sofea puas hati single pertama dan kedua dapat sambutan.
SYED Lj, KD Sofea puas hati single pertama dan kedua dapat sambutan.
Ridzuan Abdul Rahman


Nama penyanyi Syed Ahmad Kamarul S Mahthar dan Noor Doty Rasul Khan mungkin kurang dikenali peminat muzik arus perdana tanah air.

Bagaimanapun, pasangan suami isteri yang selesa dikenali sebagai Syed Lj dan KD Sofea ini gembira kerana dikenali dan diterima baik peminat di Johor.

Apatah lagi Syed Lj sebelum ini pernah menganggotai kumpulan nasyid Access yang popular dengan lagu Cinta Yang Sama dan kumpulan Nautiqa yang dikenali menerusi lagu Sahabat di bawah naungan Arteffect International milik Hafiz Hamidun.

Manakala KD Sofea juga tidak kurang hebat apabila tampil dengan album Zikir Buat Raneeya.

Pasangan ini kemudian memberanikan diri tampil dengan single pertama berjudul Tercipta Buatmu dan seterusnya single kedua berjudul Bukan Dia.

“Alhamdulillah respons yang diterima sangat baik kerana ada peminat mengakui terkesan dengan lagu ini sehingga menitiskan air mata,” kata Syed.

Terbaru, mereka bergandingan lagi menerusi lagu Jom Raya yang dihasilkan bagi meraikan ketibaan Aidilfitri.

“Kami berdua memang minat menyanyi. Alhamdulillah kami dapat sokongan padu daripada kawan-kawan yang sentiasa beri galakan.

“Undangan yang diterima untuk persembahan di sekitar Johor Bahru memang banyak dan ini sudah memadai buat kami. Bahkan saya sendiri pernah terbabit sebagai suara latar untuk album solo Azmi Caliph Buskers,” katanya.

Biarpun kedua-duanya bekerja sebagai penjawat awam, ia bukanlah alasan untuk membataskan minat mereka dalam nyanyian.

KD Sofea berkata, mereka juga tidak gentar dengan persaingan kerana percaya rezeki masing-masing sudah ditentukan Allah SWT.

“Mungkin kami jauh di selatan tanah air, tapi kami menggunakan saluran media sosial untuk mempromosikan single kami.

“Selain itu kami juga masih bergantung kepada stesen radio bagi memainkan lagu ini dan kerjasama yang diberikan oleh penyampai radio juga amat baik,” katanya.

Pasangan yang sering kali dijemput menjadi juri pertandingan nyanyian ini berharap ada syarikat rakaman berminat mengambil mereka sebagai artis nanti.

Bercakap mengenai persembahan pula, mereka sering tampil menyanyikan lagu artis popular antaranya Wany Hasrita, Dayang Nurfaizah dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Jun 2017 @ 3:13 AM