MOHD Hairi ketika persidangan DUN Johor. FOTO Ihsan MEDKOM
MOHD Hairi ketika persidangan DUN Johor. FOTO Ihsan MEDKOM
Mohamed Farid Noh


Iskandar Puteri: Kerajaan Johor bercadang untuk mewujudkan hab makanan ringan dikhaskan kepada usahawan wanita di setiap daerah di negeri ini, yang pertama seumpamanya dalam negara.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan, Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, perkara itu bagi memperkasa peranan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) wanita di Johor, yang menjadi tulang belakang perusahaan itu sejak dahulu.

Katanya, pusat makanan ringan wanita itu bakal menjadi penanda aras dan juga contoh kepada usahawan wanita di negeri ini untuk memperluaskan rangkaian perniagaan selain mewujudkan banyak peluang perniagaan serta pekerjaan kepada masyarakat luar.

"Kerajaan Johor melalui Perbadanan Usahawan Johor Sdn Bhd (PUJB) dan Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta'zim (YPKDT) banyak menyediakan inisiatif dalam pembangunan ekonomi khusus kepada Golongan wanita seperti ibu tunggal, dan juga wanita B40.

"Bagi pusat pengeluaran makanan ringan oleh usahawan wanita, kerajaan Johor menerusi Majlis Pembangunan Usahawan Negeri Johor (MPUNJ) masih memfokuskan kepada program kemahiran dan latihan berterusan sebelum Pusat Pengeluaran Wanita Johor itu diwujudkan.

"Jika boleh, kita mahukan hab makanan ringan wanita ini direalisasikan secepat mungkin pada tahun hadapan, namun sekiranya ia membabitkan proses pembangunan, ia akan memakan sedikit masa," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pada sidang Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15, di sini, hari ini.

Mohd Hairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin berkata, pelaksanaan hab makanan ringan wanita di setiap daerah itu disambut baik Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar dalam pertemuan baru-baru ini.

Katanya,bagi melahirkan lebih ramai usahawan wanita berdaya saing, pelbagai program yang disediakan antaranya Women's Income Generating Skills Project (WINGS) (Dengan Izin), Skim Bantuan Perlalatan Perniagaan (SKIPP) dan Kursus Inspirasi Usahawan Berfokus (KIUB).

"Kita melihat usaha ini cukup penting dalam membantu golongan usahawan wanita seterusnya memberi impak kepada pertumbuhan ekonomi Johor," katanya.

Mohd Hairi berkata, menerusi rekod sistem Pusat Data Usahawan (PADU), seramai 5,099 usahawan wanita telah berdaftar dari jumlah keseluruhan seramai 11,583 usahawan.

Katanya,daripada jumlah 11,583 usahawan itu, seramai 6,799 usahawan adalah berasaskan industri makanan termasuk pembuatan dan pemprosesan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Jun 2022 @ 3:41 PM