SURINA Shukri. FOTO arkib NSTP
SURINA Shukri. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) melancarkan Buku Panduan Digital dan Panduan Pantas sebagai rujukan utama bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berminat untuk memulakan penggunaan digital.

MDEC dalam satu kenyataan hari ini berkata, matlamat buku panduan ini terutamanya adalah untuk membantu PKS dalam sektor peruncitan dan makanan dan minuman (F&B) bagi menilai semula peluang dan kesediaan digital mereka menerusi panduan langkah demi langkah mengenai bagaimana meningkatkan dan memulakan perjalanan transformasi digital.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Surina Shukri berkata, ketika setiap sektor mengalami transfomasi besar-besaran, teknologi digital turut mendatangkan pelbagai cabaran getir kepada PKS, terutamanya bagi perniagaan secara tradisional.

"Malaysia mungkin mendapat penarafan tinggi dalam kedudukan kesediaan digital, tetapi pengamalan digital oleh PKS dan perniagaan secara tradisional masih rendah disebabkan oleh tiada kesedaran, kesediaan, pengetahuan dan penghayatan manfaat daripada pendigitalan, begitu juga salah faham mengenai kos yang tinggi perlu ditanggung untuk melaksanakan teknologi baharu.

"Oleh itu, MDEC menerbitkan buku panduan penting ini untuk membantu perniagaan dan PKSdalam usaha mempercepatkan penerimaan digital dengan teratur, serta kaedah yang mudah diikuti," katanya.

Surina juga menjangkakan Buku Panduan Digital dan Panduan Pantas PKS, yang merupakan sebahagian daripada inisiatif 100 Go Digital MDEC, akan menguatkan perniagaan dengan daya tahan dan kukuh dalam mendepani cabaran Covid-19, bagi membawa negara ini menuju ke arah pemulihan ekonomi.

"PKS yang ingin meningkatkan atau memajukan perniagaan mereka melalui digital juga boleh memanfaatkan Buku Panduan Digital dan Panduan Pantas PKS ini untuk memperoleh idea dan cadangan," tambahnya.

Buku Panduan Digital dan Panduan Pantas PKS boleh diakses dan dimuat turun di https://mdec.my/100-godigital/.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Ogos 2021 @ 8:23 PM