NUR Maisarah Shahirah menunjukkan produk minuman  keluaran Cinta Alaysha Enterprise.
NUR Maisarah Shahirah menunjukkan produk minuman keluaran Cinta Alaysha Enterprise.
Oleh Rosyahaida Abdullah


CINTA Alaysha Enterprise menyasar memperkenalkan beberapa perisa baharu sebagai tambahan kepada dua variasi minuman harian sedia ada keluarannya dalam tempoh dua hingga tiga tahun lagi.

Pemilik, Nur Maisarah Shahirah Mohd Bistari berkata, sambutan terhadap dua produk sedia adanya iaitu Jus Halia Akhtar dan Lemon Juice Detoxx ketika ini cukup menggalakkan terutama selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Katanya, pengeluaran bagi Lemon Juice Detoxx terpaksa ditingkatkan dalam tempoh terbabit di mana 12,000 botol terjual setiap minggu berbanding kebiasaan hanya 8,000 botol direkodkan secara purata.

"Jus Halia Akhtar produk sulung kami yang diperkenalkan pada 2016 di mana secara purata 5,000 botol bersaiz 500 ml (mililiter) terjual setiap bulan.

"Mungkin disebabkan harganya lebih mahal berbanding Lemon Juice Detoxx menyebabkan jumlah jualannya lebih rendah sedangkan Lemon Juice Detoxx baru saja dipasarkan tahun lalu namun masing-masing mempunyai manfaat dan khasiat tersendiri.

"Kini, kami juga sedang melihat peluang untuk perkenalkan beberapa perisa lain menggunakan buah-buahan bersesuaian seperti jambu batu dan delima namun masih dalam kajian lanjut untuk pastikan ia memenuhi cita rasa pengguna selain mematuhi piawaian keselamatan makanan yang ditetapkan," katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, hasrat untuk memperkenalkan beberapa perisa lain memerlukan kekuatan di peringkat pengeluaran ditambah baik secepat mungkin.

Oleh itu, selain perancangan untuk menambah bilangan kakitangan, pihaknya juga sedang mempertimbangkan keperluan menambah beberapa mesin memproses minuman bagi meningkatkan kecekapan operasi kilang yang terletak di Alor Setar, Kedah.

"Semua minuman kami memang diproses sendiri daripada bahan segar misalnya halia yang sememangnya menggunakan halia sebenar, bukan ekstrak. Begitu juga lemon dengan kesemuanya tidak dicampur sebarang perasa seperti gula atau garam.

"Disebabkan itu, proses penghasilan minuman ini perlu melalui beberapa peringkat dan memerlukan mesin pemprosesan selain kakitangan.

"Ketika ini kita sudah mempunyai tiga mesin dan harap dapat tambah tujuh mesin lagi," katanya.

jumlah yang saya kira selamat dan selesa untuk operasi pengeluaran lebih lancar dan cekap," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Oktober 2020 @ 7:15 AM