DR Wan Junaidi (dua dari kanan) bersama Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Mohammad Mentek (dua dari kiri), Mohd Bakke (tiga dari kanan) dan Imri  (kanan) melawat pameran selepas majlis MoU di Menara TM, Kuala Lumpur, semalam.
DR Wan Junaidi (dua dari kanan) bersama Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Mohammad Mentek (dua dari kiri), Mohd Bakke (tiga dari kanan) dan Imri (kanan) melawat pameran selepas majlis MoU di Menara TM, Kuala Lumpur, semalam.
Sri Ayu Kartika Amri


TELEKOM Malaysia (TM) bekerjasama dengan 14 institusi kewangan bagi membantu menyediakan pakej pembiayaan komprehensif dengan nilai sehingga RM10 juta melalui Program Pembiayaan Vendor TM dikenali sebagai Perintis.

Di bawah program ini, vendor TM akan menikmati pakej pembiayaan merangkumi semua peringkat dan saiz perniagaan termasuk mereka yang mempunyai subkontraktor.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Imri Mokhtar berkata, setakat ini TM mempunyai 9,000 vendor tempatan terdiri daripada pelbagai kategori perkhidmatan merangkumi seluruh ekosistem TM yang mana 80 peratus daripadanya adalah perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Katanya, program Perintis ini diilhamkan untuk menyediakan sokongan kewangan yang fleksibel dan mudah kepada vendor PKS TM bagi mempertingkatkan keupayaan dan daya maju mereka.

"Perintis menyediakan kemudahan pembiayaan yang fleksibel dan komprehensif ke arah pembinaan kapasiti dan keupayaan vendor kami dan program ini memberikan lebih kemudahan kepada vendor TM menerusi pelbagai kemudahan kewangan dan perundingan kewangan.

"Nilai pembiayaan sehingga RM10 juta disediakan dan ia bergantung kepada jumlah kontrak yang diperoleh daripada TM dan kadar faedah pembiayaan ditawarkan juga kompetitif iaitu antara tiga hingga empat peratus setahun," katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di sini, semalam.

Hadir menyaksikan MoU, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Pengerusi TM, Tan Sri Mohd Bakke Salleh.

Imri berkata, sebagai peneraju setiap evolusi teknologi telekomunikasi negara, TM terus komited untuk menyokong dan membangunkan usahawan tempatan terutama vendor Bumiputera bagi memacu aspirasi Digital Malaysia.

Katanya, sebagai tanda sokongan TM memperkasa vendor PKS tempatan terutama Bumiputera, pihaknya sudah menganugerahkan kontrak bernilai RM9.5 bilion kepada vendor Bumiputera antara 2014 hingga tahun lalu.

Beliau berkata, daripada 9,000 vendor TM, 62 peratus adalah vendor Bumiputera dan pihaknya jangka lebih ramai vendor akan memanfaatkan program Perintis.

Antara institusi yang terbabit dengan Perintis adalah Bank Islam Malaysia Berhad, Maybank Islamic Berhad, CIMB Bank Berhad, Bank Muamalat Malaysia Berhad, Bank Rakyat, RHB Islamic Bank Berhad, United Overseas Bank (Malaysia) Bhd, HSBC Bank Malaysia Berhad.

Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), PMB Tijari Berhad, Bay Group Holdings Sdn Bhd, Commerze Capital Sdn Bhd dan El-Nuwr Capital Sdn Bhd.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 September 2020 @ 7:30 AM