KOVRA fokus pembuatan pakaian sukan secara tempah khas dan siap pakai. Foto - NSTP
KOVRA fokus pembuatan pakaian sukan secara tempah khas dan siap pakai. Foto - NSTP
Sri Ayu Kartika Amri


KOVRA Sdn Bhd bersedia membimbing usahawan yang berminat dalam bidang pembuatan jersi untuk menjana pendapatan menerusi Program Usaha Sama Kovra.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Amar Ashraf berkata, melalui program itu, syarikat menawarkan usahawan (terdiri daripada dropship, ejen dan stokis Kovra) menjadi rakan niaga dengan membuka cawangan Kovra di kawasan mereka.

"Oleh itu, kami hanya memilih mereka yang dapat mencapai sasaran untuk menjadi rakan niaga. Lazimnya mereka yang menyertai Kovra dalam masa antara tujuh dan 10 bulan sudah boleh membuka cawangan sendiri.

"Kami akan membimbing mereka yang menunjukkan minat kerana mahu menjaga kualiti produk yang dihasilkan," katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, Kovra diasaskan pada 2015 yang memfokus kepada pembuatan pakaian sukan secara tempah khas dan siap pakai.

Amar berkata, pihaknya merancang membuka cawangan Kovra di Kuala Lumpur, Terengganu, Sabah dan Sarawak tahun depan.

"Buat masa sekarang cawangan Kovra hanya di Pulau Pinang dan 70 peratus jualan kami melalui online (dalam talian) dan sasaran membuka cawangan di empat lokasi terbabit berdasarkan permintaan tinggi pelanggan di kawasan itu.

"Kovra menjadi jenama dipercayai untuk jersi yang mana kami menggunakan mesin khas bagi memastikan logo yang dihasilkan tidak mudah rosak.

"Selepas ini, kami akan mengeluarkan pakaian sukan berbasikal, bola keranjang serta baju sejuk dan pakaian sukan Muslimah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Julai 2020 @ 7:15 AM