BANYAK merujuk majalah dan media sosial dalam menghasilkan karya.
BANYAK merujuk majalah dan media sosial dalam menghasilkan karya.
Hafiz Ithnin


SETAKAT ini sejak 2013 menceburi bidang sebagai pelukis ilustrasi secara digital, pemilik nama Firdaus Ahmed Mohamed sudah menghasilkan lebih 1,000 karya untuk pereka fesyen antarabangsa.

Meskipun kerjayanya sebagai pelukis ilustrasi digital tidak dilihat menonjol atas pentas peragaan, namun tugasnya sebagai individu di sebalik tabir tidak boleh dipandang sepi.

Memiliki latar belakang diploma reka fesyen dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), memberi kelebihan kepada lelaki berusia 33 tahun yang lebih mesra disapa Firdaus untuk berkarya dan menawarkan perkhidmatannya kepada pelanggan.

Firdaus berkata, sebaik sahaja menamatkan tingkatan lima, dia tidak pernah terlintas untuk mengambil jurusan fesyen dan meletakkan seni lukis sebagai pilihan utamanya bagi melanjutkan pelajaran di universiti berkenaan.

"Saya sejak kecil suka melukis dan ia dipengaruhi arwah ibu, Fathiyah Abu Hassan iaitu guru pendidikan seni dan Bahasa Inggeris.

"Namun, rezeki terpijak dalam jurusan reka fesyen dan kata orang jika tidak mencuba kita tidak tahu. Walaupun pada peringkat awal saya gemarkan seni lukis. Namun, dalam jurusan itu memerlukan saya untuk melukis juga dan menjadi platform dalam kerjaya hari ini," katanya.

PERLU peka perkembangan fesyen semasa dalam menghasilkan sebuah lukisan ilustrasi digital.
PERLU peka perkembangan fesyen semasa dalam menghasilkan sebuah lukisan ilustrasi digital.

Tambahnya lagi, ketika tamat pengajian pada 2009, dia ingin membabitkan diri dalam bidang fesyen dan dapat peluang di sebuah syarikat dalam industri berkenaan.

Katanya, ketika bekerja dia mendapati ada peluang untuk menerokai bidang lukisan ilustrasi dalam dunia fesyen dan ia mempunyai permintaan tinggi.

"Melukis ilustrasi fesyen secara digital ketika itu mempunyai permintaan tinggi kerana kebanyakan pelanggan mula melihat ia sesuatu yang lebih praktikal walaupun pada asasnya lukisan sesuatu rekaan fesyen secara tradisional itu adalah penting sebelum ke arah digital.

FIRDAUS kini bergerak secara bebas sebagai pelukis ilustrasi fesyen digital.
FIRDAUS kini bergerak secara bebas sebagai pelukis ilustrasi fesyen digital.

"Jadi, ketika saya perlu menjaga arwah ibu ketika dia sakit, saya mula menceburi bidang ini secara serius dan menawarkan perkhidmatan kepada pelanggan dari luar negara sahaja," katanya.

Jelasnya, walaupun melukis ilustrasi secara digital, tetapi sebagai pelukis, dia perlu mempunyai kemahiran dalam warna dan tekstil.

"Apabila pelanggan menghubungi saya, mereka akan meminta untuk melukis satu koleksi atau adi busana mengikut idea mereka dan sebagai pelukis kita perlu menzahirkan idea itu bukan sekadar tampak cantik, tetapi sesuai untuk disarungkan kepada si pemakai," katanya.

Sejak menawarkan perkhidmatan sebagai pelukis ilustrasi digital bebas, kebanyakan pelanggan Firdaus terdiri daripada jenama berasal dari United Kingdom, Australia dan Amerika Syarikat.

Ditanya mengenai jenama antarabangsa itu, Firdaus memilih untuk mengunci mulut kerana perkara itu tidak boleh didedahkan berikutan terikat kepada syarat ditetapkan pelanggan.

PENYATUAN antara idea pelanggan dan Firdaus penting bagi menghasilkan sebuah karya.
PENYATUAN antara idea pelanggan dan Firdaus penting bagi menghasilkan sebuah karya.

Jelasnya, bergelar pelukis ilustrasi digital dalam bidang fesyen mempunyai cabaran tersendiri terutama bagi memastikan idea yang disampaikan pelanggan dapat dizahirkan dengan baik.

"Setiap hari sejak 2013 saya melukis satu adi (satu) busana dan ia memerlukan fokus yang tinggi kerana busana yang dilukis akan diaplikasi oleh tukang jahit sepenuhnya.

"Jadi, apabila sebagai pelukis kita tidak mampu menzahirkan lukisan itu dengan baik, maka ia akan memberi kesan kepada pengeluaran sesuatu koleksi atau adi busana untuk dipasarkan," katanya.

Katanya, dia juga perlu bijak mengatur masa kerja memandangkan pelanggan beroperasi di luar Asia yang memerlukan mereka berkomunikasi pada awal pagi khasnya.

"Saya tidur agak awal sekitar jam 10 malam dan seawal jam 3 pagi, boleh dikatakan setiap hari, saya akan bangun untuk membalas e-mel pelanggan.

"Bagi mendapatkan idea lukisan biasanya saya akan melihat majalah fizikal atau secara atas talian. Selain itu, apabila berkesempatan ke pertunjukan fesyen, saya akan lebih memahami tema yang cuba diangkat seseorang pereka fesyen supaya saya lebih ke

hadapan dan sensitif dalam rekaan pakaian," katanya yang khusus dalam rekaan sut lelaki.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Mac 2021 @ 7:00 AM