ANAK-anak turut membantu dalam proses penghasilan keropok lekor tongkol.
ANAK-anak turut membantu dalam proses penghasilan keropok lekor tongkol.
Baharom Bakar


BERHASRAT menampilkan kelainan memberi ilham pengusaha Hasmah Mohd, 67, dan suami, Endut Yahya, 74, dari Kampung Rhu Muda, Marang, Terengganu menghasilkan keropok lekor tongkol sejak awal tahun lalu.

Keropok lekor serba guna itu boleh dipotong untuk dijadikan keropok keping atau lekor pelbagai saiz mengikut pilihan anda.

Hasmah dan Endut yang memiliki 19 cucu itu yang mula menceburi bidang penjualan keropok sejak 31 tahun lalu enggan menoleh ke belakang.

Sebaliknya menyahut cadangan pelanggan walaupun menghadapi pelbagai kesukaran dan rintangan ketika menghasilkan makanan kegemaran ramai itu.

Antara kesukaran dihadapi pasangan itu adalah terpaksa mengambil masa lebih lima jam termasuk untuk mengadun bahan mentah, menguli dan memasak keropok lekor tongkol seberat satu kilogram.

Hasmah mengakui masih mengekalkan tradisi lama termasuk mengadun dan menguli menggunakan tangan. Begitu juga dengan proses memasak yang turut membabitkan kaedah merebus keropok lekor dengan kayu api bagi mengekalkan keaslian rasa.

"Kami mengekalkan resipi turun-temurun keluarga untuk memastikan keenakan dan kelembutan keropok lekor, walaupun pedih mata dimasuki asap kayu api tetapi saya tetap tidak mahu menggunakan dapur gas.

HASMAH menunjukkan salah satu proses penghasilan keropok lekor tongkol yang menggunakan kaedah tradisional.
HASMAH menunjukkan salah satu proses penghasilan keropok lekor tongkol yang menggunakan kaedah tradisional.

"Saya akan pastikan air yang direbus menggunakan kayu api betul betul mendidih sebelum memasukkan kerepok lekor 'gergasi' yang siap diuli," katanya ketika ditemui di kediamannya baru-baru ini.

Pasangan itu turut dibantu anak serta menantunya termasuk urusan penjualan dalam talian.

PENGHASILAN keropok lekor tongkol pasangan ini mementingkan kualiti dan rasa yang enak.
PENGHASILAN keropok lekor tongkol pasangan ini mementingkan kualiti dan rasa yang enak.

"Walaupun menggunakan mesin untuk mengadun bahan mentah termasuk isi ikan, kanji, garam dan gula, tetapi untuk memastikan kerepok lekor tongkol lembut, kami tetap menguli menggunakan tangan selepas bahan berkenaan diadunkan.

"Setiap hari, antara 400 dan 550 tongkol perlu dihasilkan bagi memenuhi permintaan pelanggan dari Kuala Lumpur, Melaka, Pulau Pinang, Johor Bahru dan Kelantan.

AMBIL  masa lebih lima jam termasuk untuk mengadun bahan mentah untuk menghasilkan keropok lekor tongkol.
AMBIL masa lebih lima jam termasuk untuk mengadun bahan mentah untuk menghasilkan keropok lekor tongkol.

"Keropok lekor tongkol dihasilkan itu juga mendapat permintaan penggemar makanan itu dari Singapura, Sarawak dan Sabah,

" katanya yang mengesahkan pernah menutup perniagaan pada 2015 disebabkan menghadapi masalah kesihatan.

Hasmah menjelaskan, pada peringkat awal menghasilkan keropok lekor tongkol, antara 15 dan 20 tongkol yang setiap satu seberat satu kilogram sehari dihasilkan, tetapi selepas anaknya memuat naik gambar di laman sosial Facebook (FB) awal tahun lalu, jualan melonjak sehingga 450 hingga 750 tongkol sehari.

SETIAP proses penghasilan dilakukan penuh teliti.
SETIAP proses penghasilan dilakukan penuh teliti.

"Keropok lekor tongkol yang siap dimasak akan melalui proses sejuk beku sebelum dihantar kepada pelanggan yang membuat pesanan melalui dalam talian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mac 2021 @ 6:40 AM