SEBAHAGIAN anggota BSMMKL yang terbabit dalam kempen amal dengan gelandangan.
SEBAHAGIAN anggota BSMMKL yang terbabit dalam kempen amal dengan gelandangan.
Muhamaad Razis Ismail


PENINGKATAN mendadak kes penularan pandemik Covid-19 di Malaysia mencapai angka yang semakin membimbangkan.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyarankan kita mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang betul seperti sentiasa membasuh tangan dengan sabun, penjarakan satu meter dan pakai pelitup muka ketika berada di luar atau tempat awam.

Naib Pengerusi 1 Bulan Sabit Merah Malaysia Kuala Lumpur (BSMMKL), Roselan Abdul Rahman berkata, melihat kepada situasi semasa ini, pihaknya bimbang dengan keselamatan orang ramai khususnya golongan gelandangan.

Katanya, mereka menjadi sasaran mudah kepada penularan pandemik Covid-19 kerana hidup berhimpit di jalanan, lorong sempit mahupun di rumah perlindungan yang rata-ratanya kekurangan akses kemudahan asas seperti tandas dan bilik mandi yang bersih.

"Menyedari hakikat ini, BSMMKL melancarkan kempen amal 'WITHOUT A ROOF'- 'Go Hygiene, Go Healthy' untuk memberi bantuan berkaitan penjagaan kebersihan dan kesihatan diri.

"Kami memfokuskan kepada 600 gelandangan di sekitar Kuala Lumpur supaya mereka terus hidup sihat dan dapat mengurangkan risiko untuk mereka dijangkiti Covid-19," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurutnya, inisiatif ini juga adalah lanjutan daripada usaha terdahulu Kementerian Wilayah Persekutuan bagi mendapatkan peluang pekerjaan kepada golongan gelandangan.

"BSMMKL mengambil pendekatan baru dengan memperbaiki imej mereka melalui aktiviti-yang akan dijalankan seperti tutorial cara mandi yang tepat, gunting rambut, potong kuku, pengetahuan asas tata rias serta pemberian set pakaian baru kepada mereka.

PENGHUNI PSG teruja mengikuti aktiviti yang dijalankan.
PENGHUNI PSG teruja mengikuti aktiviti yang dijalankan.

"Kami percaya, inisiatif ini dapat membantu golongan gelandangan merealisasikan impian mereka mendapatkan pekerjaan yang tetap kelak," katanya.

Jelasnya, sebagai permulaan, BSMMKL mengambil inisiatif menganjur satu program kesihatan kepada 85 gelandangan yang ditempatkan di Pusat Sementara Gelandangan (PSG) Sentul Perdana, Kuala Lumpur.

KIT kebersihan diagihkan kepada gelandangan.
KIT kebersihan diagihkan kepada gelandangan.

"Ini adalah acara permulaan bagi program 'Go Hygiene, Go Healthy' yang bakal diadakan pada April nanti.

"Melalui program ini, golongan gelandangan ini diajar cara mencuci tangan, memakai pelitup muka dengan betul dan pek perlindungan percuma juga turut diedarkan," katanya.

Untuk makluman, Pusat Sementara Gelandangan (PSG) ini adalah hasil inisiatif operasi menyelamat golongan gelandangan di sekitar Kuala Lumpur yang diselaras Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

GELANDANGAN diajar cara menggunakan pelitup muka dengan betul.
GELANDANGAN diajar cara menggunakan pelitup muka dengan betul.

Pihak DBKL menerusi Ops Gelandangan menyelamatkan dan menempatkan mereka di beberapa buah Pusat Komuniti yang diubah suai untuk dijadikan penempatan sementara.

Sebagai langkah keselamatan, mereka disaring sebelum dihantar ke PSG yang bersesuaian.

BSMMKL berharap misi kemanusiaan ini akan mendapat perhatian dan menarik minat penaja daripada badan korporat serta jabatan kerajaan untuk turut serta selain memberi bantuan kepada pihak kami dalam menjayakan matlamat program ini.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Februari 2021 @ 6:40 AM