MENGGUNAKAN gambar yang diambil untuk kutipan dana dan menjalankan kempen kemanusiaan.
MENGGUNAKAN gambar yang diambil untuk kutipan dana dan menjalankan kempen kemanusiaan.
JOHAN Ariff
JOHAN Ariff
Muhamaad Razis Ismail


PERNAH merasai pengalaman 'diculik' dan disoal siasat selama tujuh jam oleh pengganas di Syria, dibaling bom asap ketika di Palestin serta terkandas selama 23 hari di dalam bot di perairan Bangladesh.

Demikian detik-detik cemas yang dilalui aktivis kemanusiaan, Johan Ariff Ismail, 52, atau lebih dikenali sebagai Abe Joe yang aktif dengan misi bantuan kemanusiaan di dalam mahupun luar negara.

Aktiviti kesukarelawanan itu sudah sebati dengan jiwanya biarpun pernah berdepan pelbagai peristiwa yang hampir meragut nyawanya.

Beliau turut menggunakan bakat dalam fotografi dalam menghasilkan banyak gambar menarik untuk kempen dan program kutipan dana bantuan

Perkataan serik dan fobia tidak pernah ada dalam kamus hidupnya malah setiap peristiwa yang berlaku menyemarakkan lagi semangatnya untuk terus membantu insan memerlukan.

Kini, dia mengetuai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iReach yang ditubuhkan susulan banjir besar melanda Kelantan pada 2014.

BERKONGSI pengalaman terbabit dengan aktiviti kemanusiaan.
BERKONGSI pengalaman terbabit dengan aktiviti kemanusiaan.

Johan berkata, dia sudah terbabit dengan misi bantuan kemanusiaan antarabangsa sejak 2012 di lebih 50 negara.

Dia mula bergiat aktif dengan Majlis Perundingan Pertubuhan Malaysia (MAPIM) yang menjalankan aktiviti kemanusiaan di kawasan konflik kemanusiaan.

"Pada 2014, Kelantan dilanda banjir besar dan pada ketika itu kita tiada peruntukan khas untuk bencana alam.

"Melihat kepada masalah yang timbul, saya berbincang dengan presiden pada ketika itu untuk membentuk satu NGO yang dinamakan sebagai iReach untuk fokuskan kepada isu tempatan dan bencana alam.

"Menerusi NGO ini kita menyediakan pelbagai bantuan yang digariskan oleh Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu termasuk makanan, perlindungan, kebersihan, ubat dan sebagainya," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

MENYAKSIKAN sendiri kemusnahan akibat peperangan di Syria.
MENYAKSIKAN sendiri kemusnahan akibat peperangan di Syria.

Jelasnya, NGO ini turut bekerjasama dengan 'field partner' yang berada di beberapa negara untuk memudahkan perkongsian maklumat dan urusan bantuan.

"Oleh kerana kita banyak 'berjalan' seperti ke Nepal, Palestin dan Indonesia, kita mempunyai ramai rakan di sana.

"Apabila berlaku bencana, kita akan gerakan kempen untuk membantu termasuk membuat kutipan dana untuk dihantar ke sana. Jika tiada halangan saya sendiri akan turun ke sana untuk membantu," katanya.

Johan berpandangan, fotografi dan aktiviti kemanusiaan sememangnya tidak boleh dipisahkan selain saling memerlukan antara satu sama lain.

BANTUAN kepada pelarian Syria di Sempadan Turki.
BANTUAN kepada pelarian Syria di Sempadan Turki.

"Saya bersyukur, peluang diberikan menyertai pelbagai misi di luar negara, banyak membantu untuk menghasilkan gambar yang boleh memberi impak besar," katanya.

Ditanya kepuasan yang diperoleh dengan terbabit dalam aktiviti kemanusiaan ini, dia mengakui sukar untuk menjelaskan perkara itu.

"Kesannya tidak boleh lihat dalam bentuk material. Apa pun saya akui cukup tenang dan bahagia apabila melihat orang susah bahagia dengan bantuan diberikan.

"Saya percaya bahawa apabila kita memudahkan urusan orang lain, Allah akan memudahkan urusan kita dan perkara itu yang sering saya lalui," katanya.

HAMPIR 60 peratus yang menjadi pelarian Syria adalah kanak kanak dan bayi.
HAMPIR 60 peratus yang menjadi pelarian Syria adalah kanak kanak dan bayi.

Dia berharap, semua lapisan masyarakat terutama golongan muda bergiat aktif dengan aktiviti kemasyarakatan.

"Kita kena jentik hati dan mendidik jiwa dengan aktiviti seperti ini yang meletakkan kita berada di zon tidak selesa sekali gus memperkayakan pengalaman berdepan dengan orang susah.

"Tidak perlu pergi jauh sehingga ke luar negara, boleh mulakan di kawasan terdekat dan kita dapat didik diri untuk rasa bahagia melihat orang lain bahagia," katanya.

BANTUAN kepada mangsa banjir di Kelantan.
BANTUAN kepada mangsa banjir di Kelantan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Februari 2021 @ 6:20 AM