Nurul Husna Mahmud

Video yang diambil dari udara sering dikatakan pandangan 'mata' burung ini kebiasaannya menyajikan panorama cukup mengasyikkan selain memberi ekspresi berbeza apatah lagi ia hasil seni individu berpengalaman luas.

Kebiasaannya visual menakjubkan seperti video udara digunakan pada permulaan dokumentari. Namun kini turut menjadi latar filem antarabangsa yang nyata memberi kesan dramatik kepada penonton.

Lazimnya juga, visual ini antara hasil karya juruvideo atau jurugambar luar negara tetapi hari ini sudah ada pengkarya tempatan yang tidak kurang hebatnya dalam penghasilan video 'cinematic' dengan merakamkan panorama di Malaysia.

Paling menonjol ialah hasil pengkarya tempatan, Skyrun Malaysia, apabila video dikongsi menerusi YouTube bertajuk Kuala Lumpur: Asia's Next New York pada Julai 2020 lalu meraih lebih 200 ribu tontonan termasuk dari luar negara.

Menurut pengasasnya dan juga 'pilot' tegar dron, Wan Ahmad Farhan Wan Ali, aktiviti bermula sebagai hobi itu menjadi sesuatu yang membanggakan negara apabila ramai tidak menyangka Malaysia terutamanya bandar Kuala Lumpur mempunyai pemandangan menarik dan berbeza dari kebiasaan yang dilihat setiap hari.

WAN Ahmad Farhan berpengalaman dalam mengendali dron bagi merakam video di udara atau aerial foto.
WAN Ahmad Farhan berpengalaman dalam mengendali dron bagi merakam video di udara atau aerial foto.

"Peminat Skyrun Malaysia adalah mereka yang ingin melihat Kuala Lumpur dan saya perasan jumlah penonton mendadak naik apabila saya kongsi 'footage' atau video ibu kota berbanding tempat-tempat lain yang lebih menarik.

"Sepanjang berkongsi lebih 300 video dalam YouTube sejak 2016 dan 100 lebih adalah video dari udara menggunakan dron, saya perasan kumpulan peminat yang tonton dan komen video kami sangat menyukai sinematografi bandar Kuala Lumpur.

"Apabila saya muat naik sahaja video mengenai Kuala Lumpur, tontonan boleh capai tidak kurang tiga ribu dan apabila tiba musim pandemik, jumlahnya naik mendadak.

"Paling ketara apabila video dimuat naik juga diberi tajuk lebih sensasi atau 'catchy' seperti Julai lalu iaitu mengenai Kuala Lumpur dikatakan New York Asia berikutnya, mencecah jumlah tontonan hingga lebih 200 ribu," katanya.

BERKONGSI video bandar Kuala Lumpur menerusi platform Youtube.
BERKONGSI video bandar Kuala Lumpur menerusi platform Youtube.

Katanya, bagi mendapatkan visual kota raya menakjubkan, ketekunan dan pengalaman sangat diperlukan.

Saban hari terutama hujung minggu sejak 2016 lalu ialah menerbangkan dron seawal jam 6.30 pagi bagi mendapatkan pemandangan matahari terbit.

"Saya sudah bermain kamera sejak tahun 1993 dan boleh kata minat saya sangat mendalam terhadap seni visual ini. Saya bermula dengan DSLR ketika menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor.

"Lepas itu mula terjebak dengan pelbagai gajet atau kamera sehinggalah ke hari ini beralih kepada 'aerial' fotografi. Saya bersyukur kerana isteri sokong dan memahami hobi saya.

MODEL dron digunakan bagi merakam panorama Kuala Lumpur.
MODEL dron digunakan bagi merakam panorama Kuala Lumpur.

"Kalau tidak masakan isteri saya boleh faham rutin hujung minggu kalau tidak pergi bercuti, saya akan keluar setiap hari seawal jam enam pagi bagi terbangkan dron.

"Saya biasanya akan habiskan masa sekitar sejam hingga dua jam bagi merakam dan cari 'footage' menarik sekitar bandar Kuala Lumpur bersama rakan yang mempunyai minat sama. Boleh kata hampir ke seluruh ceruk bangunan yang boleh lepas dron masuk, sudah saya jelajah," katanya.

Jelas Wan Ahmad Farhan lagi, untuk dia terbangkan dron pada ketinggian beratus meter sebenarnya mengambil masa lebih kurang tiga bulan kerana dia seorang yang gayat.

"Saya masih ingat ketika saya beli dron 2016 dengan kos RM3,000 dan masih kurang berani hendak terbang tinggi. Kawan saya yang beli sama sudah terbangkan dron mereka 100 hingga 200 meter. Saya ketika itu masih gayat dan hanya mampu terbangkan pada aras 10 hingga 30 meter sahaja.

"Jadi, apabila balik kampung sendiri, Kota Bharu, Kelantan dan sebelah isteri di Alor Setar, Kedah, saya berlatih terbangkan dron di kawasan lapang. Lama-kelamaan saya semakin berani dan yakin dapat kendalikan dengan baik sebelum mula 'terbang' di Kuala Lumpur.

"Banyak pengalaman tidak boleh lupa. Salah satunya ketika saya terbangkan dron di Kampung Mangkuk, Setiu , Terengganu untuk Tourism Terengganu, dron saya tersangkut di pelepah pokok kelapa ketika menyusuri kawasan ladang kelapa di sana.

"Macam berpesta pula apabila orang kampung turun beramai-ramai membantu dapatkan semula dron saya. Selain itu ketika di Taman Negara Pahang dron saya hilang dari radar dan muncul semula selepas 20 minit," katanya.

KERJA suntingan juga mudah dan dilakukan menerusi tablet.
KERJA suntingan juga mudah dan dilakukan menerusi tablet.

Menjelaskan visual paling menakjubkan ialah ketika merakam pemandangan dua menara di Menara Berkembar Petronas, KLCC yang mana dron miliknya juga hilang seketika akibat gangguan kabus. Tetapi hasil rakaman kamera drom berkenaan begitu menakjubkan apabila berjaya merakam lapisan awan di antara menara itu.

Perasaan puas juga katanya, sukar diungkapkan dengan kata-kata apatah lagi dapat berkongsi pemandangan menarik yang jarang dinikmati ramai orang terutama penduduk Kuala Lumpur sendiri.

"Saya buat ini sebab minat dan bonus apabila karya saya menarik perhatian orang lain termasuk korporat untuk membelinya. Paling penting ialah apabila orang dalam bidang sama menghargai dan memberi kredit kepada karya saya.

"Paling tidak boleh lupa ialah apabila saya diberi tawaran seorang YouTuber luar negara yang mempunyai jumlah tontonan 50 juta setiap kali dia muat naik videonya untuk ikut serta menjelajah seluruh dunia.

"Bukan sahaja itu tanda dia menghargai hasil kerja malah mengiktiraf bakat anak tempatan seperti saya yang dilihat mampu menghasilkan karya seperti jurufoto atau juruvideo 'aerial' di luar negara," katanya yang pernah menerbangkan dron di luar negara termasuk di Gunung Bromo, Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Februari 2021 @ 9:19 AM