AKTIF sertai bengkel arca seramik di luar negara.
AKTIF sertai bengkel arca seramik di luar negara.
Muhamaad Razis Ismail


SERING kali kita mendengar seramik cukup sinonim dengan pembuatan pelbagai jenis pinggan mangkuk, pasu dan tembikar.

Bagaimanapun, Mohd Al-Khuzairie Ali, 36, menjadikan seramik sebagai medium untuk menghasilkan pelbagai jenis arca.

Biasanya banyak arca dihasilkan daripada kayu dan besi, namun Mohd Al-Khuzairie membuat kelainan sehingga berjaya menempa nama sehingga ke peringkat antarabangsa.

Sepanjang satu dekad terbabit dalam bidang seni, dia memperoleh banyak anugerah dan menyertai pelbagai pameran di dalam mahupun di luar negara.

Insan seni ini menjadikan pengarca seramik sebagai kerjaya sepenuh masa. Sebelum ini dia pernah menjadi pensyarah sambilan di universiti untuk memberi tumpuan penghasilan karya seni.

Baru-baru ini penulis berpeluang melihat karya seni yang dihasilkan anak kelahiran Pahang ini di Pameran Jarak di Hinggap Art Space di Puncak Alam, Selangor.

Turut serta dalam pameran ini adalah Ahmad Shukri Mohamed dan Umibaizurah Mahir@Ismail yang turut mempamerkan karya seni mereka.

Antara karya yang mendapat perhatian di situ adalah arca bertajuk The Republic Of Clusters yang menggambarkan beberapa kluster yang wujud di negara ini akibat penularan pandemik Covid-19.

Mohd Al-Khuzairie berkata, pendedahan mengenai penghasilan arca daripada seramik masih baharu di negara ini.

ARCA bertajuk Mr Someone yang menarik perhatian ramai.
ARCA bertajuk Mr Someone yang menarik perhatian ramai.

Katanya, sehingga kini, tidak ramai individu yang benar-benar aktif menghasilkan karya seni daripada seramik.

"Masih ramai yang beranggapan seramik digunakan untuk penghasilan pinggan, mangkuk dan barang perhiasan sahaja. Apabila saya hasilkan arca daripada seramik ramai yang pelik.

"Biasanya arca cukup sinonim dihasilkan daripada kayu atau besi dan seramik tidak dijadikan pilihan kerana mudah pecah.

"Namun saya melihat daripada pandangan berbeza dengan menggunakan seramik sebagai medium utama untuk hasilkan seni kontemporari arca," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurutnya, minat terhadap arca daripada seramik ini tercetus ketika masih lagi menuntut di Universiti Teknologi MARA (UiTM).

"Selepas beberapa tahun belajar dan berkenalan dengan beberapa artis, saya buat keputusan untuk serius hasilkan arca daripada seramik.

"Saya mahu menjadi antara yang terawal terbabit dalam bidang ini dan seronok dapat mencuba benda baharu.

PEMENANG tempat kedua di Virtual Art Pitch 2 (VAP2) 2017.
PEMENANG tempat kedua di Virtual Art Pitch 2 (VAP2) 2017.

"Memang ramai yang susah terima arca dihasilkan daripada seramik kerana mudah pecah namun itu bukan alasan untuk saya tidak terus menghasilkan karya seni daripada bahan itu," katanya.

Beliau berkata, setiap penghasilan arcanya mengambil kira keadaan situasi semasa sama ada dari segi politik, budaya dan persekitaran.

"Apa yang sedang berlaku pada ketika itu saya suka angkat sebagai karya seni kerana sudah tugas seorang artis adalah mendokumentasi sesuatu perkara untuk generasi akan datang.

"Contohnya sekarang negara dilanda Covid-19. Menerusi idea yang sama, artis dapat hasilkan pelbagai karya berbeza untuk tatapan masyarakat," katanya.

PAMERAN yang disertai di Belanda.
PAMERAN yang disertai di Belanda.

Mengulas lanjut, untuk menghasilkan sesebuah arca seramik membabitkan satu proses yang sangat panjang dan menggunakan pelbagai jenis teknik.

"Bermula daripada idea, lakaran, pemilihan tanah liat, bancuhan, acuan sehinggalah proses membakar, semuanya dilakukan sendiri dan boleh memakan masa sehingga sebulan untuk disiapkan. Malah ada juga arca yang dihentikan sementara kerana dihasilkan lebih terkehadapan dari keadaan semasa untuk beri tumpuan kepada projek baharu.

"Pada masa sama, untuk persembahan bagi 'melengkapkan' arca dihasilkan juga memakan masa lama termasuk penghasilan bahan campuran seperti kayu, besi dan lain-lain," katanya.

TEMPOH menghasilkan arca seramik mengambil masa yang lama.
TEMPOH menghasilkan arca seramik mengambil masa yang lama.

Ditanya mengenai tanggapan arca yang sukar difahami, Mohd Al-Khuzairie berpendapat karya seni yang dihasilkan bukan untuk difahami semata-mata tapi untuk dihayati.

"Saya buat bukan untuk orang faham apa yang dihasilkan tapi untuk mereka hayati karya seni itu.

"Setiap orang mungkin ada interpretasi yang berbeza terhadap setiap karya seni yang dipamerkan," katanya.

Beliau turut menasihatkan kepada individu yang berminat untuk menjadikan bidang seni ini sebagai kerjaya perlu memiliki mentor untuk berjaya.

"Perlu diakui ia sangat mencabar namun dengan mentor, anda akan lebih bersemangat untuk terus berkarya.

"Saya bersyukur kerana dipertemukan dengan seniman senior, Ahmad Shukri dan Umibaizurah yang banyak beri panduan untuk terus kuat dalam bidang ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 January 2021 @ 7:00 AM