ABD Jalil (kiri) menerima sumbangan sempena Misi Bantuan Banjir Gogopasar.
ABD Jalil (kiri) menerima sumbangan sempena Misi Bantuan Banjir Gogopasar.
Muhamaad Razis Ismail


SEBANYAK RM180,000 diperuntukkan Gogopasar untuk membantu mangsa banjir di Pahang melalui tiga fasa Misi Bantuan Banjir sejak dua minggu lalu.

Untuk menjayakan misi itu, pihak FGV Holdings Berhad menyumbang RM100,000 di samping ANF Sdn Bhd dan Gogopasar masing-masing menyumbang RM30,000 dan RM50,000 dalam bentuk barang makanan harian termasuk hampir 5,000 ayam segar, beras, santan kotak, minyak masak, mi segera, kicap dan sos.

Ketua Pegawai Eksekutif Gogopasar, Lynn Alias berkata, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak menghalang pihaknya menubuhkan pasukan GogoCare bergabung dengan Yayasan Peace Malaysia untuk menjayakan misi ini.

"Misi pertama tertumpu di beberapa pusat penempatan sementara dan pusat pengumpulan bantuan banjir di sekitar Kuantan dan Pekan termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mat Kilau, Kompleks Penghulu Kuala Kuantan 2, Penjara Penor, SMK Ubai dan Masjid Al-Mutaqqin, Tanah Putih Baru.

"Seramai 25 pegawai Gogopasar yang diketuai saya sendiri terbabit dalam misi pertama ini. Turut serta adalah Pengerusi Yayasan Khayr Ummah Antarabangsa, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya dan Pengasas Yayasan Peace Malaysia, Amirul Fahmi," katanya dalam satu kenyataan media baru-baru ini.

Menurutnya, misi kedua pada minggu lalu tertumpu di pusat agihan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang untuk membantu anggota polis yang turut terjejas.

"Dalam misi ini, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) turut menyumbang pelitup muka dan cecair pembasmi kuman melalui Yayasan Takwa.

"Gogopasar akan ke Jerantut pula untuk misi terakhir pada minggu ini dan kami amat komited dalam misi kemanusiaan seperti ini," katanya.

MENTERI Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (tengah) menerima sumbangan daripada Lynn Alias (dua dari kanan).
MENTERI Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (tengah) menerima sumbangan daripada Lynn Alias (dua dari kanan).

Mengulas lanjut, pihaknya turut mengalu-alukan sumbangan dari mana-mana pihak yang berhajat melalui misi bantuan kecemasan banjir ini kerana masih ramai rakyat yang terjejas dan memerlukan bantuan.

ANGGOTA polis yang terjejas banjir turut menerima bantuan.
ANGGOTA polis yang terjejas banjir turut menerima bantuan.

Sementara itu, Ketua Polis Pahang, Datuk Abd Jalil Hassan berkata, pihaknya bersyukur bantuan banjir yang diberikan kepada IPK Pahang dapat membantu anggota polis terjejas.

"Bantuan ini dapat membantu meringankan serba sedikit beban yang ditanggung anggota polis yang turut menjadi mangsa banjir.

"Kami berharap kerjasama antara polis dan Gogopasar akan berterusan dari semasa ke semasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 January 2021 @ 6:30 AM