DARURAT pada 1948 hingga 1960 menyebabkan pergerakan penduduk terbatas.
DARURAT pada 1948 hingga 1960 menyebabkan pergerakan penduduk terbatas.
Nor 'Asyikin Mat Hayin


PERGERAKAN terhad, bekalan beras dan makanan lain dicatu serta menghadapi risiko ditembak jika keluar rumah bukan pada waktu dibenarkan.

Itu antara kesukaran hidup yang terpaksa dilalui penduduk ketika Darurat Tanah Melayu di Malaya (Semenanjung Malaysia) daripada 1948 hingga 1960.

Ketika itu, kerajaan British dan kemudian kerajaan Persekutuan Tanah Melayu mengisytiharkan darurat bagi menangani pemberontakan Parti Komunis Malaya (PKM).

Bekas pensyarah sejarah, Universiti Sains Malaysia (USM) Dr Ahmad Jelani Halimi, 73, berkata, keadaan ketika itu sangat teruk dan penduduk hidup dalam ketakutan bimbang dibunuh pengganas komunis.

"Penduduk mempunyai wang, tetapi tidak boleh menggunakan wang berkenaan untuk membeli barangan kerana pembelian terhad.

"Seorang penduduk hanya dibenarkan membeli beberapa kati (satu kati bersamaan 600 gram) beras, tepung dan gula berdasarkan bilangan ahli keluarga.

"Bekalan makanan yang dibenarkan hanya untuk simpanan seminggu," katanya.

Menurut Dr Ahmad Jelani, di sebahagian tempat, khususnya kawasan perkampungan baharu, beras tidak lagi dibekalkan.

Penduduk terpaksa makan nasi yang dimasak tukang masak disediakan kerajaan.

DR Ahmad Jelani (kiri) menghadiri seminar di USM.
DR Ahmad Jelani (kiri) menghadiri seminar di USM.

"Nasi dibekalkan secara berkupon dan hanya mencukupi untuk sehari," katanya.

Dr Ahmad Jelani berkata, penduduk pula hanya dibenarkan keluar rumah jam 5.30 pagi dan perlu berada di rumah jam 6 petang.

"Jika ada penduduk yang masih keluar rumah lebih daripada jam 6 petang, mereka berisiko ditembak.

"Selain itu, mereka yang keluar rumah perlu membawa kad pengenalan iaitu sekeping kertas yang ada gambar dan maklumat diri.

"Penduduk akan ditangkap sekiranya keluar rumah tidak membawa kad pengenalan itu," katanya.

Menurut Dr Ahmad Jelani, sebahagian besar penduduk bergantung kepada sawah padi dan kebun getah sebagai punca pendapatan.

"Setiap kali keluar rumah untuk bekerja, mereka perlu melalui sekatan dan pemeriksaan tentera serta polis.

"Malah, bekalan makanan yang dibawa ke bendang dan kebun turut diperiksa," katanya.

Menurut Dr Ahmad Jelani, penduduk turut takut untuk menggunakan perkhidmatan bas kerana bimbang diserang pengganas komunis disebabkan pinggir jalan diliputi hutan tebal yang menjadi sarang pengganas.

KENDERAAN dan barang-barang yang dibawa diperiksa.
KENDERAAN dan barang-barang yang dibawa diperiksa.

Menyentuh mengenai Majlis Gerakan Negara (Mageran) yang ditubuhkan pada 1969 bagi menangani permasalahan yang tercetus susulan peristiwa 13 Mei 1969, menurut Dr Ahmad Jelani, ketika itu beliau baharu berpindah bertugas ke Pengerang, Johor.

"Impak peristiwa itu kurang dirasai di Pengerang berbanding di Kuala Lumpur.

"Ini kerana, masyarakat di Pengerang yang berbilang kaum masih hidup dalam keadaan harmoni," katanya.

Mengenai Proklamasi Darurat pula, beliau berkata, masyarakat diminta supaya tidak terlalu takut dengan perkara yang tidak wujud.

"Proklamasi Darurat bukan rampasan kuasa tentera, tetapi sekatan politik bagi mengehadkan campur tangan pihak tertentu mengganggu-gugat usaha kerajaan untuk menangani penularan Covid-19.

"Ini bukan darurat seperti 1949 hingga 1960 atau Mageran.

"Walaupun Proklamasi Darurat diisytihar, rakyat masih bebas bergerak melakukan urusan harian termasuk bekerja tanpa sebarang sekatan.

"Cumanya, perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kerana penularan pandemik Covid-19.

"Pada pandangan saya, rakyat perlu patuh arahan kerajaan supaya dapat bersama-sama mengatasi musuh yang kita tidak nampak iaitu virus Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2021 @ 6:35 AM