KARYA instalasi yang dberi tajuk "Antanom Warrior".
KARYA instalasi yang dberi tajuk "Antanom Warrior".
Hafiz Ithnin


ILHAM seseorang artis sememangnya mempunyai kaitan dengan latar belakang kehidupan mereka atau terlihat daripada pemerhatian dalam kehidupan seharian.

Begitu juga dengan artis muda dalam bidang arca Hafizzuddin A Jaidin yang berusia 28 tahun ini mengangkat konsep arca bersandarkan kepada buluh.

Pemilihan buluh untuk dijadikan seni persembahan secara komersial baginya mempunyai hubungan yang amat erat kerana dia dibesarkan di sebuah kampung di Tenom, Sabah yang ketika itu kediaman keluarga dibina berasaskan buluh.

Malah pemilik Sarjana Seni Halus dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) ini juga ingin memastikan seni arca sentuhannya yang berkonsepkan buluh boleh dipertontonkan secara meluas di negara ini bagi membantu golongan artis di dalam bidang itu terus diberi perhatian.

Baginya seni arca membabitkan karya awam adalah sesuatu yang mencabar untuk kerjaya kerana ia tidak seperti karya seni halus lain seperti lukisan kerana pemiliknya kebanyakan adalah institusi.

Jelasnya, begitu besar harapan untuk melihat di bandar besar di negara ini yang mengangkat seni arca sebagai seni persembahan awam kerana ia mempunyai nilai yang unik.

"Jika melihat kepada negara di Eropah misalnya mereka menjadikan seni arca ini sebagai satu persembahan awam yang menarik diletakkan di kawasan tumpuan bagi berkempen atau menjadi satu lokasi tarikan pelancongan.

"Jadi kita perlukan lebih ramai orang atau institusi yang mengangkat karya ini supaya ia lebih dihargai dan paling penting dapat membantu golongan pengkarya seni arca untuk menjadikan ia sebagai satu kerjaya yang setanding dengan bidang lain," katanya.

Hafizzuddin yang ketika ini sudah menyertai pelbagai persembahan seni arca di dalam dan luar negara juga melihat seni arca adalah sesuatu yang begitu mencabar untuk dihasilkan kerana ia membabitkan kerja tangan yang begitu halus untuk dijadikan di dalam bentuk tiga dimensi (3D).

Katanya, untuk menghasilkan sebuah seni arca terutama persembahan awam yang berbentuk lebih besar ia membabitkan masa yang lama. Ini kerana seseorang artis itu perlu mengadaptasi ilham daripada lukisan dua dimensi kepada bentuk yang bukan sahaja cantik tetapi mempunyai makna tersendiri apabila dipertontonkan kepada khalayak.

BULUH menjadi konsep dalam seni arca Hafizzuddin.
BULUH menjadi konsep dalam seni arca Hafizzuddin.

"Di Malaysia karya ini masih kurang popular tetapi terdapat beberapa institusi atau negeri yang mula beralih kepadanya kerana tahu mengenai keunikannya.

"Malah, sebagai artis baharu saya sendiri melihat ia menjadi cabaran untuk memastikan sesuatu karya itu mendapat tempat dalam kalangan mereka yang bukan artis," katanya.

Pemenang Anugerah Juri (Bakat Muda Sezaman) pada 2016 itu juga mengakui, kerjayanya sebagai seorang artis arca pada awalnya sukar untuk diterima keluarga kerana ia tidak begitu popular.

BAPA dan ibu Hafizzuddin hadir ke Balai Seni Negara untuk melihat hasil sentuhan beliau.
BAPA dan ibu Hafizzuddin hadir ke Balai Seni Negara untuk melihat hasil sentuhan beliau.

Katanya, sebagai seorang yang mencintai bidang itu pastinya memerlukan dia menjelaskan kepada mereka yang di luar sana mengenai keupayaan seni arca sebenarnya mampu berdiri sebaris dengan kerjaya profesional yang lain.

"Pada awalnya keluarga sendiri tidak tahu mengenai hala tuju saya di dalam bidang ini kerana ia bukan satu bidang yang popular.

"Jadi sebagai anak dan penggiat seni, kita perlu memberi gambaran yang jelas mengenainya dan memberikan contoh nama-nama artis tempatan yang kini mampu menjadikan bidang ini sebagai satu mata pencarian," katanya.

BERGAMBAR bersama pensyarah fesyen yang kagum dan tertarik dengn kenunikan karya instalasi artis.
BERGAMBAR bersama pensyarah fesyen yang kagum dan tertarik dengn kenunikan karya instalasi artis.

Anak sulung daripada lima beradik ini juga mempunyai perspektif lain untuknya melanjutkan pelajaran di dalam bidang itu ke peringkat sarjana.

Katanya, terdapat segelintir orang melihat tindakan menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi untuk memastikan mereka boleh menjadi pensyarah tetapi tidak bagi Hafizzuddin.

"Saya melihat ilmu ketika belajar sejak di peringkat diploma sehingga ijazah sarjana sentiasa tidak mencukupi bagi mengetahui seelok-belok seni ini daripada tenaga pengajar yang mempunyai pengalaman luas.

"Jadi, apabila saya belajar di peringkat lebih tinggi sekali pun, ingin mendapatkan pengalaman atau ilmu daripada tenaga pengajar supaya lebih faham untuk berkarya dan berdepan dengan cabaran di dalam industri ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 January 2021 @ 7:00 AM