ANTARA karya yang dihasilkan menggunakan kayu.
ANTARA karya yang dihasilkan menggunakan kayu.
Hafiz Ithnin


"BUKAN mudah untuk berada pada tahap yang selesa. Tatkala rakan-rakan sebaya ada yang sudah mempunyai kerjaya stabil, saya masih mencari rentak," kata artis muda ini.

Namun, berkat kesabarannya untuk terus berkarya membuahkan hasil apabila dia bukan sahaja meraih pelbagai anugerah, malah ketika ini pemilik nama Burhanuddin Bakri sering mendapat perhatian pencinta koleksi arca.

Membawakan tema seni kaligrafi Islam dalam penghasilan arcanya, artis berusia 27 tahun itu tidak pernah menoleh ke belakang untuk membuktikan artis dalam bidang itu sebenarnya mempunyai masa depan.

Baginya, seni arca mempunyai keunikan tersendiri kerana ia menguji artis untuk menzahirkan reka bentuk dalam bentuk tiga dimensi (3D) hasil daripada sebuah lakaran dua dimensi (2D).

Jelasnya, penghasilan arca memerlukan seseorang artis bukan sahaja bijak untuk bermain imaginasi hasil akhir sesebuah karya, malah perlu bijak menggunakan bahan bagi membentuk seni itu sendiri.

Katanya, jika secara tradisional penghasilan seni arca kebiasaannya menggunakan medium seperti kayu dan besi, kini ia beralih kepada penggunaan bahan industri seperti gantian kaca, besi tahan karat dan pelbagai lagi yang sebenarnya menarik untuk diterokai. Sekali gus menguji kemampuan seseorang artis itu untuk menzahirkan reka bentuk yang diinginkan.

"Karya arca ini bukan sesuatu yang mudah untuk dizahirkan kerana kita bukan sahaja perlu bijak untuk menzahirkan idea di atas kertas sebelum membentuknya, malah perlu bijak mengetahui media yang akan digunakan dalam bentuk 3D.

BURHANUDDIN meraih pelbagai anugerah sejak 2016 hasil sentuhan karya menghasilkan arca.
BURHANUDDIN meraih pelbagai anugerah sejak 2016 hasil sentuhan karya menghasilkan arca.

"Selain itu, ia juga mengambil masa bagi membolehkan proses pembentukan arca itu berlaku dengan sempurna di mata artis," katanya.

Menceritakan mengenai pemilihan tema kaligrafi Islam sebagai tema seni arcanya, Burhanuddin berkata, ia adalah satu falsafah seni Islam paling agung kerana digunakan dalam penulisan al-Quran.

"Kaligrafi Islam juga sebagai manifestasi berkenaan kepercayaan, budaya dan tradisi yang agung. Sebagai seorang Islam saya melihat ia satu tanggungjawab untuk meletakkannya di tahap yang lebih tinggi serta memartabatkannya.

"Malah, ia juga juga memerlukan saya untuk berfikir lebih kritis dalam menghasilkan sebuah karya yang bukan sahaja tampak unik, tetapi mempunyai maksud serta pengisian tersendiri," katanya.

Anak kelahiran Pahang yang baharu sahaja dinobatkan sebagai pemenang Hadiah Jauhar (Anugerah Budaya) sempena Pertandingan Arca Ritma Johor, Yayasan Warisan Johor itu juga sudah sembilan kali menerima anugerah dalam pelbagai pertandingan arca dalam negara sejak 2016 pembabitannya secara serius dalam bidang itu.

Pemegang Sarjana dalam Seni Halus dan Teknologi dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu juga sering mendapat jemputan penggiat seni arca dari negara jiran, Indonesia untuk membuat pameran.

Burhanuddin berkata, sebagai penggiat seni arca amat penting untuk mempunyai identiti karya supaya peminat terutama pengumpul koleksi terus mencintai hasil sentuhan artis yang diminatinya.

BURHANUDDIN bersama arca bertajuk ‘Suci’ daripada bahan kayu terpakai untuk Pertandingan Waste to art anjuran SWCORP, di KLIA 2.
BURHANUDDIN bersama arca bertajuk ‘Suci’ daripada bahan kayu terpakai untuk Pertandingan Waste to art anjuran SWCORP, di KLIA 2.

"Seni arca ini tidak mempunyai golongan pengumpul koleksi yang ramai kerana ia memerlukan ruang bagi menempatkannya.

"Namun, ia masih ada terutama bagi mereka yang mempunyai ruang dalam kediaman atau pejabat yang luas dan disebabkan itu seseorang artis arca perlu menghasilkan sebuah karya yang mempunyai 'pengisian' tersendiri dalam sentuhan mereka," katanya.

Katanya, disebabkan itu, dia amat mementingkan setiap hasil seninya adalah 100 peratus hasil sentuhan peribadi dan bukan dihasilkan industri.

"Jika kita hanya melukis dan menghantarnya ke kedai untuk membentuknya, karya arca itu sudah hilang rohnya kerana ia membabitkan jiwa artis di dalamnya.

"Disebabkan itu, saya amat menitik beratkan setiap elemen yang ingin dihasilkan. Biarpun mengambil masa dan agak rumit, tetapi ia adalah sentuhan peribadi saya kepada bakal pemilik koleksi berkenaan," katanya.

Nasihatnya, kepada artis yang masih mencari 'tapak' dalam industri perlu mempunyai kesabaran yang tinggi dan sentiasa menampilkan karya mempunyai identiti diri.

"Jangan pernah mengalah kepada cabaran untuk menonjolkan diri walaupun sukar kerana setiap usaha pasti ada hasilnya kelak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Disember 2020 @ 7:01 AM