BPMB menjalankan tanggungjawab sosialnya untuk pendidikan.
BPMB menjalankan tanggungjawab sosialnya untuk pendidikan.
Hafiz Ithnin

MENGUKUHKAN komitmen untuk memperjuangkan peluang sama rata supaya semua pelajar menerima pendidikan yang berkualiti, Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) tampil menyumbang komputer dilengkapi dengan cakera keras dan perisian baharu kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Sumbangan itu adalah sebahagian daripada inisiatif Sekolah Angkat BPMB, Supporting English Empowerment to Drive Sustainability (SEEDS).

SMK Seri Titiwangsa adalah sekolah pertama yang mendapat manfaat daripada program itu susulan majlis pelancaran rasmi yang diadakan pada 15 September lalu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif BPMB, Arshad Mohamed Ismail berkata, program itu bertujuan memperkasa penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar dan memupuk kesedaran mereka mengenai Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).

"Pandemik Covid-19 yang kian menular memberikan pencerahan terhadap kepentingan kegunaan teknologi dalam membantu pelajar untuk meneruskan pembelajaran mereka.

"Justeru, usaha BPMB untuk menyediakan pelajar dengan alat dan peralatan yang diperlukan untuk pembelajaran atas talian menyokong usaha serta dorongan berterusan kami untuk memastikan semua pelajar diberikan peluang sama rata bagi mendapatkan pendidikan yang berkualiti," katanya.

Majlis penyerahan komputer yang berlangsung di Kuala Lumpur ini turut dihadiri Ketua Operasi Kumpulan BPMB, Muhammad Azraini Abdul Hamid.

MUHAMMAD Azraini (dua dari kiri) menyerahkan komputer kepada Mohd Arif.
MUHAMMAD Azraini (dua dari kiri) menyerahkan komputer kepada Mohd Arif.

Hadir sama, Pengetua SMK Seri Titiwangsa, Zamzuri Abdullah, Penolong Kanan Pentadbiran dan Kurikulumnya, Mohd Arif Mohd Ali.

Majlis pelancaran rasmi yang diadakan pada 15 September lalu di SMK Seri Titiwangsa membabitkan pelajar tingkatan empat dan turut diadakan pelbagai agenda seperti perkongsian daripada wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Direct English dan Zer0Hunger Malaysia.

Pelajar terbabit diberi pencerahan berkenaan SDG, kepentingan Bahasa Inggeris dan kebaikan pertanian dalam bandar.

Sementara itu, Zamzuri berkata, usaha BPMB perlu dipuji kerana komitmen institusi itu dalam memperjuangkan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar sekolah.

Malah, pihaknya bersyukur diberikan peluang untuk menjadi sekolah pertama yang mendapat manfaat daripada program SEEDS.

"Sumbangan komputer kepada sekolah kami adalah tepat pada masanya dan amat diperlukan, terutama apabila pembelajaran atas talian adalah sangat penting dalam keadaan semasa.

"Kami berharap supaya lebih banyak organisasi dapat menerajui usaha sama seperti pihak BPMB untuk terus memainkan peranan aktif dalam membantu bakal pemimpin masa hadapan terus maju pada hari ini," katanya.

BPMB memastikan pelajar sekolah tidak ketinggalan dalam teknologi pembelajaran.
BPMB memastikan pelajar sekolah tidak ketinggalan dalam teknologi pembelajaran.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Disember 2020 @ 6:20 AM