KATEGORI Wefie Pertandingan Fotografi Klik@Merdeka 2020 dimenangi Syaza Syazwany.
KATEGORI Wefie Pertandingan Fotografi Klik@Merdeka 2020 dimenangi Syaza Syazwany.
Fairul Asmaini Mohd Pilus

Pertandingan Mewarna dan Melukis sempena sambutan Bulan Kebangsaan 2020 dan Pertandingan Fotografi Klik@Merdeka 2020 anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) yang diadakan baru-baru ini menerima sambutan yang cukup menggalakkan daripada masyarakat.

Buktinya, sebanyak 8,001 penyertaan diterima bagi Pertandingan Mewarna dan Melukis manakala 675 lagi penyertaan bagi Pertandingan Fotografi Klik@Merdeka 2020.

Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Strategik) JaPen, Datuk Mohd Sukari Ab Hamid berkata, dalam usaha menerapkan budaya norma baharu dan kawalan kendiri bagi mengekang penularan pandemik Covid-19, dua pertandingan itu dianjurkan menerusi medium dalam talian iaitu WhatsApp, e-mel, Facebook dan Instagram.

Kata Mohd Sukari, ia bermula pada Ogos dan berakhir pada September lalu.

Malah katanya, pertandingan Mewarna dan Melukis Sempena Bulan Kebangsaan 2020 diadakan bertujuan menyemai semangat cintakan negara melalui lukisan dalam kalangan kanak-kanak dan remaja berusia antara lima dan 17 tahun.

"Pertandingan Fotografi Klik@Merdeka 2020 pula diadakan bertujuan mencungkil bakat dan kreativiti rakyat Malaysia khususnya golongan muda untuk berkarya melalui seni fotografi dan nukilan kenegaraan.

"Pertandingan itu terbahagi kepada dua kategori iaitu Selfie dan Wefie, dengan tema Kita Luahkan Inspirasi Kemerdekaan.

BARISAN juri menilai dengna teliti gambar yang dihantar peserta.
BARISAN juri menilai dengna teliti gambar yang dihantar peserta.

"Semua penyertaan dinilai panel juri bertauliah, dalam sesi penjurian yang diadakan pada 5 Oktober lalu, di Kompeks Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Putrajaya," katanya.

Dalam pada itu, antara juri yang terbabit dalam Pertandingan Mewarna dan Melukis adalah Ketua Unit Publisiti, Bahagian Komunikasi Visual dan Senireka, Jabatan Penerangan Malaysia Azid Muhamad Azid Abdul Latiff dan Pensyarah Kanan Jabatan Reka Bentuk Perindustrian, Fakulti Rekabentuk dan Senibina, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Mohd Faiz Yahaya.

Pertandingan Fotografi Klik@Merdeka 2020 pula diadili barisan juri yang terdiri daripada Pensyarah Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka Universiti Teknologi MARA (UiTM) Profesor Madya TS Dr Sharkawi Che Din; Ketua Jurufoto - Kluster Industri Kreatif (IPPTAR), Redzuan Md Saleh dan
Ketua Jurufoto JaPen Maszuandi Din.

Selepas beberapa penilaian dilakukan,Johan Pertandingan Mewarna bagi Kategori A (5 hingga 6 tahun) dimenangi Nursyifaa' Salman dari Pahang, Kategori B (7 hingga 9 tahun) diungguli Wafa Sofiyyah Shahrul Ashraf (Perak) manakala Hafsah Hussin (Sabah) memenangi Kategori C (10 hingga 12 tahun).

Nursyifaa dan Wafa masing-masing memenangi hadiah wang tunai RM200 manakala Hafsah membawa pulang RM400.

GAMBAR kreatif Mohd Niza memenangi kategori Selfie.
GAMBAR kreatif Mohd Niza memenangi kategori Selfie.

Kategori A Pertandingan Melukis (13 hingga 15 tahun) pula dimenangi Gracelyn Loh Yee Thing dari Pulau Pinang manakala Chong Ka Zen (Sabah) memenangi Kategori B (16 - 17 tahun).

Semua pemenang kategori melukis dan mewarna turut menerima sijil penghargaan.

Untuk Pertandingan Fotografi Klik@Merdeka 2020, kategori Selfie dimenangi Mohd Niza Othman yang membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM800, plak serta sijil penyertaan.

Manakala kategori Wefie pula dimenangi Syaza Syazwany Badaruddin dengan hadiah wang tunai RM1,500 berserta plak dan sijil penyertaan.

Menurut Mohd Sukari lagi, pihak JaPen mengucapkan tahniah kepada semua pemenang dan sekalung penghargaan atas penyertaan daripada orang ramai.

"JaPen berharap supaya masyarakat terus menyokong usaha kerajaan dalam menganjurkan pelbagai program kenegaraan pada masa akan datang.

"Ia bagi membudayakan semangat patriotisme dan memupuk nilai-nilai kenegaraan dalam kalangan rakyat Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Oktober 2020 @ 6:40 AM