ANTARA kostum menarik pelbagai kaum di negara ini yang diperagakan oleh kucing di C-A-T Playground sempena meraikan sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia.
ANTARA kostum menarik pelbagai kaum di negara ini yang diperagakan oleh kucing di C-A-T Playground sempena meraikan sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia.
Fairul Asmaini Mohd Pilus

TIDAK kira apa jenis baka sekalipun, kucing sememangnya menjadi haiwan kesayangan ramai.

Ramai yang membela haiwan berkenaan untuk dijadikan peneman di kala kesunyian dan ada yang menjadikan haiwan itu sebagai terapi bagi melepaskan tekanan seharian.

Menyedari kelebihan berkenaan, pusat sehenti permainan, penjagaan dan peralatan kucing, C-A-T Playground mengadakan inisiatif menarik dengan memakaikan haiwan kesayangan itu dengan kostum unik pelbagai kaum bagi memeriahkan lagi sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia, baru-baru ini.

Pengasas C-A-T Playground Dr Khew E Joon berkata, sekumpulan kucing comel memperagakan kostum kaum utama yang ditempah khas itu sememangnya pengalaman unik bagi pencinta haiwan berkenaan.

Kata Khew, 18 kostum ditampilkan antaranya fesyen utama kaum Melayu, Cina, India, Iban, Bidayuh, Orang Ulu, Melanau, Kadazan atau Dusun, Penan, Orang Asli, Murut, Bajau, Rungus, Lun Bawang, Kedayan, Bisaya dan Suluk atau Tausug.

DR KHEW
DR KHEW

Katanya, keunikan peragaan itu mendapat perhatian ramai pencinta kucing yang sanggup datang dari luar Lembah Klang semata-mata untuk bergambar dengan haiwan berkenaan.

"Tujuan utama kami memakaikan kostum berkenaan kepada haiwan kesayangan itu kerana ingin menonjolkan keunikan Malaysia yang harmoni dengan kepelbagaian kaum kepada pengunjung dari dalam dan luar negara.

"Ini kerana Malaysia negara menarik dan berbeza daripada negara lain selain perbezaan itulah yang melahirkan sifat hormat-menghormati dalam kalangan rakyat.

"Kami berharap inisiatif kecil ini dapat membantu memupuk sifat bertolak-ansur dan memahami dalam kalangan masyarakat sekali gus menjadikan sambutan Hari Kebangsaan serta Hari Malaysia kali ini lebih bermakna," katanya kepada Harian Metro.

C-A-T Playground yang terletak di pusat beli-belah Sunway Putra Mall menawarkan pusat sehenti permainan kucing.
C-A-T Playground yang terletak di pusat beli-belah Sunway Putra Mall menawarkan pusat sehenti permainan kucing.

Peluang melihat sendiri aksi comel haiwan berkenaan melompat ke sana ke mari dalam kostum yang di tempah khas itu sememangnya mencuit hati.

Kucing yang sememangnya jinak dengan pengunjung itu turut dipakaikan dengan aksesori lengkap seperti topi dan mahkota.

Menurut Khew lagi, pusat sehenti seluas 1,500 kaki persegi yang terletak di pusat beli-belah Sunway Putra Mall itu dibuka sejak lebih dua tahun lalu.

Selain menjual makanan dan aksesori penjagaan kucing, ia turut menempatkan lapan kucing baka tempatan serta parsi yang diselamatkan dari jalanan.

PENCINTA kucing yang sanggup datang dari jauh semata-mata untuk bermain dengan haiwan kesayangan ramai itu.
PENCINTA kucing yang sanggup datang dari jauh semata-mata untuk bermain dengan haiwan kesayangan ramai itu.

Kata Khew, semua kucing itu dipelihara dan dijadikan sebagai medium pembelajaran sensori santai kepada kanak-kanak.

"Kucing yang ada semuanya berumur lebih setahun, iaitu umur yang sesuai untuk bergaul dengan orang ramai.

"Pada tahap umur berkenaan, kesihatan kucing juga sudah stabil dan mendapat vaksin secukupnya," katanya.

Khew berkata, C-A-T Playground adalah singkatan daripada Cat Assisted Therapy dan ia adalah taman permainan pertama seumpamanya yang menyediakan gabungan elemen gaya hidup dan sensori deria.

KUCING juga jinak dengan pengunjung.
KUCING juga jinak dengan pengunjung.

Pengunjung yang tidak berpeluang membela kucing sendiri di rumah, berpeluang bermain dengan haiwan kesayangan itu di pusat sehenti berkenaan.

"Kucing diakui bukan sahaja dapat membantu mengurangkan tekanan malah meningkatkan lagi imunisasi badan.

"Hormon oksitosin yang dihasilkan ketika bermain dengan kucing juga dipercayai dapat mengurangkan risiko serangan jantung," katanya.

Pusat permainan sehenti kucing itu dibuka setiap hari bermula jam 10 pagi hingga 10 malam.

COMEL si meow kesayangan dalam kostum menarik lengkap dengan mahkota.
COMEL si meow kesayangan dalam kostum menarik lengkap dengan mahkota.

Pengunjung kanak-kanak bagaimanapun perlu ditemani ibu bapa atau penjaga kerana konsep pembelajaran di situ antara lain untuk mengukuhkan lagi ikatan kekeluargaan.

Sementara itu, bagi menjaga kebersihan dan kesihatan, bilangan pelawat turut dihadkan dalam sesuatu masa dan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hanya satu jam dibenarkan.

KOSTUM unik menampilkan keunikan pelbagai kaum di negara ini yang ditempah khas.
KOSTUM unik menampilkan keunikan pelbagai kaum di negara ini yang ditempah khas.

Pengunjung juga tidak perlu bimbang kerana ia mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan manakala kucing dan kawasan di dalam taman permainan itu juga sentiasa dinyahkuman serta dibersihkan dengan pembasmi kuman.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 September 2020 @ 6:20 AM