LEGA Norddin dapat bantuan Kotak Rezeki Ummat disampaikan Ahmad Umair. FOTO Ihsan MyFundAction Perak
LEGA Norddin dapat bantuan Kotak Rezeki Ummat disampaikan Ahmad Umair. FOTO Ihsan MyFundAction Perak
Nurul Husna Mahmud

LANJUTAN daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan pandemik Covid-19, ramai dalam kumpulan masyarakat terjejas.

Paling terkesan adalah warga emas yang uzur dan orang kurang upaya (OKU) yang tidak mempunyai sumber pendapatan tetap.

Menyedari kesukaran itu, MyFundAction Cawangan Perak tampil menyantuni golongan itu menerusi edaran Kotak Rezeki Ummat yang mengandungi barangan keperluan asas seperti beras, gula, garam, tepung, sardin dan lain-lain bagi keperluan seminggu.

Penerima bantuan dari Kampung Balun, Slim River iaitu Norddin Idris,73, melahirkan rasa syukur atas sumbangan berkenaan bagi membantu menampung keperluan harian keluarganya.

"Sejujurnya saya memang tiada persiapan untuk Ramadan kali ini. Saya tidak mampu sediakan apa-apa untuk keluarga.

"Pendapatan saya hilang disebabkan musim PKP ini. Terima kasih di atas keprihatinan MyFundAction dengan penyaluran kotak Rezeki Ummat ini, sedikit sebanyak mampu untuk menampung makanan harian kami di sini," katanya.

GIGIH sebalik kesukaran Ahmad yang lumpuh hampir keseluruhan badan turut berniaga jajan. FOTO Ihsan MyFundAction Perak
GIGIH sebalik kesukaran Ahmad yang lumpuh hampir keseluruhan badan turut berniaga jajan. FOTO Ihsan MyFundAction Perak

Warga emas berusia 73 tahun itu, masih bekerja keras bukan sahaja untuk menampung keperluan keluarga malah mencari perbelanjaan tambahan disebabkan penyakit Thalasemia yang dideritai anak bongsunya.

Rutin rawatan setiap bulan untuk menambah darah di dalam badan perlu dilakukan anaknya itu selain dia sendiri turut menghidapi penyakit kronik antaranya sakit jantung, buah pinggang dan kolestrol. Malahan hempedunya juga sudah tiada selepas membuat pembedahan beberapa tahun yang lepas.

Turut menerima sumbangan itu ialah warga emas, OKU sejak lahir dan lumpuh seluruh badan iaitu Ahmad Mohd Taib.

Dia hanya mampu menggunakan sebelah tangan sahaja untuk melakukan aktiviti harian dan bergerak. Malah dia yang juga penerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) itu turut menjual jajan kepada kanak-kanak untuk tampung keperluan.

Sementara itu, Penasihat MyFundAction Cawangan Perak, Ahmad Umair Zulkefli berkata, sehingga kini sebanyak 220 kotak makanan bernilai RM150 diedarkan di sekitar negeri Perak.

Pemilihan penerima berdasarkan data sedia menerusi Program Rezeki Ummat yang dilaksanakan sebelum ini.

"Penerima kotak makanan itu adalah penerima yang sama daripada program Rezeki Ummat sebelum ini dan diteruskan dalam tempoh PKP.

"Kami berharap lebih ramai tampil menyumbang kepada usaha kami untuk menyantuni lebih ramai keluarga asnaf," katanya.

SUMBANGAN diberi untuk meringankan perbelanjaan keperluan dapur. FOTO Ihsan MyFundAction Perak
SUMBANGAN diberi untuk meringankan perbelanjaan keperluan dapur. FOTO Ihsan MyFundAction Perak

DAIF keadaan rumah seorang penerima bantuan. FOTO Ihsan MyFundAction Perak
DAIF keadaan rumah seorang penerima bantuan. FOTO Ihsan MyFundAction Perak

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mei 2020 @ 6:31 AM