MUHD Al-Bazly (duduk kanan), Nurul Izzah  dan Akmal Arief (berdiri)  menyaksikan Zuraida (duduk kiri) serta Prof Dr Halimaton menandatangani dokumen perjanjian.
MUHD Al-Bazly (duduk kanan), Nurul Izzah dan Akmal Arief (berdiri) menyaksikan Zuraida (duduk kiri) serta Prof Dr Halimaton menandatangani dokumen perjanjian.
Oleh Helmy Abd Rahman


Yayasan MyPrihatin dan IJN Foundation, baru-baru ini menandatangani perjanjian kerjasama Program MyHeart Siri ke-4 dan Pelancaran Tabung Prihatin.

Ia bagi membantu pesakit jantung kanak-kanak dan remaja berusia 17 tahun ke bawah daripada keluarga yang kurang berkemampuan untuk mendapatkan rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Pengasas Yayasan MyPrihatin, Muhd Al-Bazly Bakar berkata, menerusi program berkenaan, badan itu akan menampung kos logistik dan sara diri pesakit serta keluarga manakala IJN Foundation akan membiayai kos rawatan dan pembedahan pesakit di Institut Jantung Negara (IJN).

“Menerusi program MyHeart Siri ke-4 ini, kami menyasarkan kutipan RM100,000 sepanjang berlangsungnya program ini sehingga September 2020.

“Ia juga bagi membolehkan rakyat negara ini dan syarikat korporat yang prihatin menghulurkan bantuan dengan menyalurkannya menerusi program MyHeart ini,” katanya.

Jelasnya, tujuan pelancaran Tabung Prihatin adalah bagi mencegah gejala rayuan sumbangan derma oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Jika diperhatikan, terdapat beberapa tabung derma diletakkan di beberapa tempat awam contohnya di restoran, kedai dobi dan kedai serbaneka yang tidak dapat dikenal pasti atau disahihkan pertubuhan yang meminta derma berkenaan serta aktiviti sebenar yang dijalankan.

“Tabung ini juga bagi mengawal sumbangan daripada dimasukkan ke dalam akaun individu kerana terdapat bukti beberapa pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan maklumat tidak sahih dan memohon bantuan kewangan.

“Dengan wujudnya Tabung Prihatin ini, diharap dapat membendung penyalahgunaan sesetengah pihak yang ingin mengambil kesempatan meraih derma daripada pihak awam dengan meletakkan tabung derma di lokasi umum,” katanya.

Katanya, Tabung Prihatin dilekatkan dengan kemudahan QRPay Maybank dan penderma mempunyai pilihan sama ada menderma secara tunai atau menggunakannya.

“Untuk promosi oleh selebriti, Nur Heliza Helmi bersetuju bekerjasama dengan Yayasan MyPrihatin dan IJN Foundation bagi mempromosi Tabung Prihatin di platform media sosialnya di Facebook, Instagram dan YouTube selain menerusi siri ceramah motivasi di seluruh negara,” katanya.

Katanya, pada Program MyHeart Siri ke-3, RM97,477.33 berjaya dikumpulkan daripada sasaran awal RM50,000.

“Dana ini digunakan untuk menampung kos logistik dan sara diri pesakit jantung kanak-kanak. Ini bagi membolehkan pesakit berpeluang melakukan pemeriksaan kesihatan dan seterusnya mendapatkan rawatan selanjutnya di IJN.

“Sejumlah RM30,000 sudah diserahkan kepada IJN Foundation untuk diuruskan pihak IJN Foundation manakala baki selebihnya diuruskan oleh Yayasan MyPrihatin sendiri.

“Sumbangan boleh disalurkan ke Program Myheart menerusi tiga cara iaitu menerusi akaun Maybank bernombor 564801648485, laman web kami di http://www.myprihatin.org.my/derma.html dan QRPay Maybank.

“Setiap sumbangan layak mendapat resit pengecualian cukai untuk kegunaan dengan LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri). Untuk mendapatkan resit pengecualian cukai, boleh e-mel transaksi sumbangan ke [email protected],” katanya.

Tabung Prihatin diwujudkan dengan kerjasama Pertubuhan United Muslim Malaysia (UMM) dan Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) dan akan diletakkan di kaunter bayaran restoran, kedai dobi dan kedai serbaneka dengan sasaran 1,000 lokasi di seluruh negara.

Yayasan MyPrihatin juga turut berkolaborasi dengan Projek Prihatin - Permatang Pauh Women’s Project (PPWP) yang terdiri daripada ibu tunggal dan suri rumah asnaf dalam menghasilkan pakaian seragam sekolah apabila sebahagian daripada keuntungan turut disalurkan ke Program MyHeart.

Majlis pelancaran di IJN itu turut dihadiri Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar; Ketua Pegawai Operasi IJN, Akmal Arief Mohamed Fauzi; Pengerusi Yayasan MyPrihatin, Prof Datuk Dr Halimaton Hamdan serta Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan dan Sosial IJN Foundation, Raja Datin Seri Zuraida Raja Mansur.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Oktober 2019 @ 9:08 AM