SUKARELAWAN bersama penduduk Lath Ho, Laos menggali lubang laluan untuk meletakkan saluran paip air.
SUKARELAWAN bersama penduduk Lath Ho, Laos menggali lubang laluan untuk meletakkan saluran paip air.
Zaitie Satibi


LAPAN komuniti di empat negara Asia Tenggara bertuah apabila menerima kunjungan 41 sukarelawan MyCorps yang menjalankan misi mengubah kehidupan masyarakat dengan memberi fokus menyelesaikan masalah komuniti setempat.

Sebanyak 75 projek kemanusiaan berjaya dilaksanakan sukarelawan berkenaan yang berkampung selama dua bulan di Labuan Bajo dan Pontianak di Indonesia, Dili dan Viqueque (Timor Leste), Savannakhet dan Vang Vieng (Laos) serta Baseco dan Albay (Filipina).

Pelbagai pengalaman ditempuhi sukarelawan berkenaan bagi menjayakan misi ketujuh program kesukarelawanan belia antarabangsa itu di bawah inisiatif Kementerian Belia dan Sukan. Program kali ini membabitkan kawasan Asia Tenggara bagi menjalankan projek yang lestari dan berkesan untuk menambah kualiti hidup kepada masyarakat setempat.

Antara projek yang memberi impak besar kepada komuniti adalah Projek ‘Wae’ di Labuan Bajo membabitkan kerja membina dan merangka semula termasuk menggantikan selain membaik pulih sistem perpaipan di Kampung Menjaga Baru dan Kampung Menjaga Lama.

Difahamkan ‘Wae’ yang bermaksud air dalam bahasa Manggarai dan ia menjadi masalah utama kepada penduduk kampung dalam mendapatkan bekalan sumber air bersih sejak bertahun-tahun lamanya.

SERAMAI 33 nelayan dan petani projek penternakan ayam bergambar kenangan bersama sukarelawan.
SERAMAI 33 nelayan dan petani projek penternakan ayam bergambar kenangan bersama sukarelawan.

Oleh itu, dengan siapnya projek ini ia memberi manfaat kepada lebih 280 penduduk di perkampungan berkenaan untuk mendapatkan bekalan sumber air bersih.

Di Laos pula, 982 penduduk kampung di Lath Ho, Savannakhet mendapat manfaat daripada projek sistem saliran air yang disalurkan ke tujuh kawasan utama di kampung berkenaan iaitu di sekolah, klinik, pusat belia, pejabat kampung, pejabat wakil kerajaan dan rumah tamu.

Sementara itu, projek ‘Raising Manok For Maonon’ pula dilaksanakan di Albay. ‘Manok’ adalah bahasa Tagalog bermaksud ayam ini memberi fokus untuk membantu komuniti penduduk berkenaan daripada segi pembangunan ekonomi sara diri.

Projek ini mengajar dan melatih 33 nelayan dan petani yang terpilih di Kampung Maonon dalam ilmu penternakan ayam. Difahamkan, mereka tidak mempunyai sumber makanan dan pendapatan apabila tiba musim tengkujuh berikutan tidak dapat bekerja dan projek ini dijangka dapat menyelesaikan masalah dihadapi.

Adalah diharapkan dengan pelaksanaan program MyCorps di Asia Tenggara ini akan dapat memberi manfaat yang berpanjangan dan meningkatkan taraf hidup serta ekonomi kepada komuniti yang memerlukan. Ia juga dapat memberi peluang dan pengalaman yang berharga kepada peserta untuk menyerlahkan potensi diri melalui pembangunan belia positif dalam konteks kesukarelawanan dan kemanusiaan.

TIGA gelanggang untuk bersukan dibina sukarelawan di Indonesia.
TIGA gelanggang untuk bersukan dibina sukarelawan di Indonesia.

PEMBINAAN sistem perpaipan untuk mengatasi masalah bekalan air bersih di dua kampung di Labuan Bajo, Indonesia.
PEMBINAAN sistem perpaipan untuk mengatasi masalah bekalan air bersih di dua kampung di Labuan Bajo, Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Julai 2019 @ 9:11 AM